Sunday, August 23, 2009

Zuhudnya Mereka.....

Salam Ramadhan Kareem,
Pada hari Jumaat lepas, bersamaan 30 Syaaban 1430H aku berpeluang melawat Mak Long yang mengambil keputusan untuk tinggal di pondok setelah balik daripada Mekah beberapa tahun yang lalu. Setibanya disana, aku begitu kagum melihat keadaan warga pondok ini. Semua rumah yang didiami kebanyakkanya rumah papan yang telah usang.
Kebanyakkan yang tinggal di sini adalah orang tua yang ingin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Terdapat juga rumah batu yang didiami beberapa keluarga. Seusai sampai di rumah Mak Long lebih kurang jam 12.30 tgh hari, aku mendengar alunan ayat2 suci Al-Quran datang daripada rumah sebelah Mak Long.. Subhanallah sangat mendayu dan merdu.. Menurut Mak Long, anak-anak pak cik tu, semuanya hafal Al-Quran( hafiz & hafizah ).
Dikala manusia kini, yang terlalu dibimbangi dengan ‘wabak’ sekularisme, masih lagi terdapat keluarga yang mempunyai ‘antibodi’ yang kuat sehingga mampu menyanggah pelbagai penyakit yang makin ‘berbahaya’. Hebatnya asuhan yang diberikan dan tarbiyyah yang disuntikkan ke dalam jiwa mereka. Keadaan rumah yang serba kekurangan, berbumbungkan ‘atap’ dan tandas terpaksa dikongsi, adalah pemangkin untuk mendidik mereka menjadi Hebat diantara yang Hebat..
Subhanallah. ditengah kerakusan manusia mengejar harta benda dan kemewahan yang tidak pernah menimbulkan kepuasan, masih wujud lagi manusia yang tak pedulikan semua itu..Wajah pak cik2 dan mak cik2 di sini semuanya bersih dan jernih dek kerana amal ibadat yang dilakukan. Melihat keadaan ni, terdetik di hatiku,, MasyaAllah zuhudnya mereka..tentu sudah banyak amal ibadat yang mereka lakukan..lantas, kubik fikiranku teringatkan kepada sebuah hadis 31 daripada hadis 40..

Dari Abul ‘Abbas, Sahl bin Sa'ad As-Sa'idi radhiallahu 'anhu, ia berkata: “Seorang laki-laki datang kepada Nabi S.A.W lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu perbuatan yang jika aku mengerjakannya, maka aku dicintai Allah dan dicintai manusia’. Maka sabda beliau : ‘Zuhudlah engkau pada dunia, pasti Allah mencintaimu dan zuhudlah engkau pada apa yang dicintai manusia, pasti manusia mencintaimu”. (HR. Ibnu Majah dan yang lainnya, Hadith hasan)

Intisari Hadis :

Zuhud adalah tidak ingin kepada sesuatu dengan meninggalkannya.
Menurut istilah, zuhud adalah berpaling dan meninggalkan sesuatu yang disayangi yang bersifat material atau kemewahan duniawi dengan mengharap dan menginginkan sesuatu wujud yang lebih baik dan bersifat spiritual atau kebahagiaan akhirat. Dalam hadis ni,
ada 2 zuhud yg dibincangkan :-
1) zuhud pada dunia, dikasihi Allah
2) zuhud dengan apa yang ada pada manusia, dikasihi manusia

ZUHUD PADA DUNIA, DIKASIHI ALLAH
Manusia selalunya sinonim dengan kecintaannya pada dunia. memang tidak disangkal lagi, manusia fitrahnya adalah mencintai dunia. Dalam ayat sudi Al-Quran telah digariskan bahwa,

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."(Surah Ali-Imran; ayat 14)

Namun perlu kita ingat bahawa segala-galanya hak Allah dan Allah berhak mengambilnya balik. Jangan sampai nikmat itu melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Maha suci Allah yang berhak mengadakan dan berhak menarik balik nikmat itu. sekiranya berlaku sebarang kecurian ataupun kerosakan kepada harta benda kita, cubalah kita mengawal perasaan kita kerana ini merupakan ujian Allah dan bersikap zuhud lah serta yakinlah bahawa nikmat itu adalah sementara dan hak Allah semata-mata. sikap bersedekah juga adalah salah satu contoh kita bersikap zuhud. kita lebih mencintai akhirat daripada dunia, lalu kita sanggup membelanjakan harta itu ke jalan yang diredhai Allah... pasti balasan Allah itu indah buat manusia yang zuhud kepada dunia.
Singkapi Sirah Junjungan Mulia:-
Sahabat rasulullah ramai yg kaya (seperti Abd Rahman ‘Auf) dan tidak pula dihalang rasulullah, tapi kekayaan itu digunakan untuk dakwah dan jihad. Cth semasa perang Tabuk di mana sahabat-sahabat berlumba-lumba menginfaqkan harta; Abu Bakar seluruh harta, Umar separuh harta. jelaslah, contoh terbaik sifat zuhud dapat dilihat pada zaman Rasulullah SAW.

ZUHUD DENGAN APA YANG ADA PADA TANGAN MANUSIA, DIKASIHI MANUSIA

Zuhud ini dapat dijelaskan dengan tidak meminta-minta atau mahukan hak orang lain kerana menyukai apa yang dimiliki mereka. jika kita zuhud dgn apa yang ada pada tangan manusia, orang lain akan sukai kita atas dasar hormat kerana kita hormat hak dan milik mereka.Zuhud juga tidak bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya, namun mengimbangi dunia dan akhirat. hidup ini biarlah diredhai Allah agar sejahtera di akhirat kelak. Zuhud juga mendidik kita bersyukur dengan apa yang ada pada diri kita tanpa mengeluh dan merungut ; 'apa yang ada jarang disyukuri apa yang tiada sering dirisaukan'.

Antara cara untuk meningkatkan sifat zuhud adalah;
1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat dengan menimbang segala amalannya, yang besar mahupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi.

2. Merasakan bahawa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh, sebagaimana firman Allah,

“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu
megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur; ayat 6)

3. Merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu manusia. Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya,

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (surah An-Naaziat; ayat 37-39)

Demikianlah serba ringkas info mengenai zuhud. Sesungguhnya tangan yang menaip, mata yang melihat, dan otak serta hati yang berfikir sudah tentu lebih dekat kepada tulisan ini, justeru pesanan ini pertamnya buat diriku dan peringatan buat hati ini yang sentiasa leka dengan duniawi. semoga hidup ini diredhai Allah...Semoga madrasah Ramadhan kali ini, mampu mendidik diri kita supaya menjadi lebih zuhud..

No comments:

Post a Comment

.: Pegangan Da'ie :.

Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta

(aku adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang')



'aslif nafsak wad'u ghairak (Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)