Showing posts with label Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Sahabat. Show all posts

Monday, August 9, 2010

Yang Dirindui..


Ya Allah..Ya Rabbi.., 
Berkatilah kami di dalam Ramadhan-Mu,
Terimalah segala amal kami,
Permudahkanlah segala urusan kami,
Bajailah hati kami dengan Keimanan,
Suburkanlah hati kami dengan kesabaran,
Hidupkanlah malam kami dengan munajat,
Hindarkanlah kami dari segala dosa & maksiat.
Amin Ya Allah....

Salam Ramdhan....Buat semua sahabat sahabiah..walau dimana kalian berada..yang dirindui telah tiba..sambutlah ia dengan jiwa dan hati yang ria,..Selamat Beramal!!

Wednesday, July 21, 2010

Cinta Abadi: Buat Sahabat2ku

Cinta yangg hakiki ialah cinta oleh akal dan hati. Tanpa melihat atau berjumpa, ia sudah bertaut dan dapat dirasa kerana bersatu adalah hati, bukannya fizikal dan ia disatukan oleh tali Allah dan bukannya oleh nafsu dan kepentingan diri.

 ********************
Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Begitulah cinta, ia adalah kuasa, tetapi kuasa itu memerlukan peraturan dan kawalan. Sebagaimana jasad memerlukan makanan, begitu juga halnya dengan jiwa yang memerlukan cinta. Allah menciptakan naluri tersebut kerana ingin menyelamatkan, membahagiakan dan mententeramkan jiwa manusia. Tetapi cinta sekarang banyak yang meruntuhkan erti kemanusiaan itu sendiri. Bukannya menyelamatkan tetapi merosakkan.
******************************
Hukum cinta perlu dipatuhi agar maksud penciptaanya tercapai. Cintailah sesiapapun, asalkan cinta itu dapat memberi lorong yang sebaik-baiknya untuk terus menyintai Allah. Cinta itu harus dibina atas dasar cinta kepada Allah. Sebagai bukti! kita akan mendahulukan kehendak kecintaan kita kepada Allah melebihi kehendak kecintaan kita kepada lain. Cinta harus tumbuh atas dasar tapak yg murni dan selalunya didorong oleh faktor agama, akhlak, kewibawaan dan kepribadian yg baik. Dorongan dan rangsangan yang menyuburkan cinta ini tidak memerlukan kata-kata luahan yang indah, namun 'body languange' sudah cukup membuktikan betapa dalamnya cinta.
##############################
Kebiasaannya cinta yang suci pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan, untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan jika diizinkan Allah, ia akan bersambung di akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi diakhirat. Jikalau cinta seseorang itu benar-benar hanya kerana Allah, dia akan lebih khusyuk selalu dalam solatnya dan semakin bertambah pula amal ibadat dan ketakwaannya kepada Alah. Sebaliknya jikalau hubungannya dengan Allah semakin renggang dan mengarahkan dirinya melakukan perkara-perkara yang merugikan dan melalaikan. Itu ertinya Cinta Nafsu.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Cinta yang bersalut nafsu akan mudah diganggu oleh syaitan. Maka akan berlakulah zina hati dan mata. Orang yang sebegini sifatnya jikalau dia mengaku yang cintanya itu dibina atas dasar cinta kepada Allah jelaslah dia telah menipu dirinya sendiri. Mustahil boleh bersatu dua unsur yang berlainan dalam satu masa sebagaimana sukarnya air dan minyak bercantum menjadi satu.

  ++++++++++++++++++++++++++++
Cinta yang seni.

Milik Pencipta yang dihadiahkan buat hamba-hambanya. Suci. Bersih. Kerja menyatukan itu urusanNya. Percaya pada ketentuan Ilahi, percaya pada ketetapanNya. Dia lebih mengetahui hamba-hambaNya, baik buruk sebab dan akibat. Cukuplah dengan keyakinan sepenuhnya pada Dia. Redha, bertawakal, berserah.


Cinta itu benar-benar menguji.
Cinta sebagai ujian; menguji sejauh mana kebergantungan kita pada Allah, sejauh mana keyakinan kita pada Maha Kuasanya Allah yang mengatur segalanya, termasuk C-I-N-T-A! Percaya bahawa S-A-B-A-R itu menjanjikan suatu yang lebih indah. Kita dambakan keindahan abadi daripada yang sementara. Hakikatnya yang sementara itu walau indah di mata namun langsung tidak bermakna! Mohon pertolongan dengan S-A-B-A-R dan S-O-L-A-T; tidaklah mudah melainkan hanya orang-orang yang khusyuk.


C-I-N-T-A- itu masa depan.
Cinta yang dimulakan dengan cara yang baik, pasti akan berakhir dengan jalan yang baik. Cara yang dibentuk dengan acuan syariat, pasti hasilnya cantik dan indah. Cinta yang datangnya dari benih yang baik, pastinya akan melahirkan sesuatu yang baik. Cinta yang baik menyemai sifat-sifat kebaikan dalam jiwa keturunan.


Jalan yang SUSAH itu jarang ditempuh. Namun, siapa yang berani menempuhnya pasti akan berjaya. Yang SUSAH akan menjadi SENANG. Yang SUKAR di MUDAHkan. Wujudkah jalan yang SUSAH namun tiada RANJAU BERDURI? Cinta yang indah itu sukar diperoleh, sekali dapat cerah dunia. Cinta yang indah itu, dugaannya mencabar. Perlu keberanian, kekuatan, kesabaran..

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. (iaitu) mereka yang yakin, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Al-Baqarah:45-46)

Usah membunuh C-I-N-T-A, kerana C-I-N-T-A- suatu anugerah.
Tanamlah C-I-N-T-A sebagai fitrah, jangan biar jadi F-I-T-N-A-H.
Bukan mudah menjahit cinta tulus, bukan mudah, sangat bukan mudah!
Sabarlah wahai hati, kerana yang sukar itulah akan paling dihargai!


“Ya Allah, kurniakanlah untuk kami cintaiMu, cinta orang-orang yg mencintaiMu serta amalan yang dapat mendekatkan diri kami kepada cintaMu…


Ya Allah, segala pemberianMu yg kami sayangi, jadikanlah ia kekuatan utk kami mencintaiMu, dan segala apa Engkau pisahkan dari kami, sedangkan ianya amat kami sayangi, maka jadikanlah ia ruang untuk cintaMu dalam diri kami…


Ya Allah, berikanlah kami kekuatan utk mengutamakan cintaMu, melebihi cinta kami kepada keluarga, harta benda dan meskipun air yang dingin ketika dahaga…


Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk mencintaiMu, para MalaikatMu, nabi-nabiMu, para RasulMu serta hamba-hambaMu yg soleh…


Ya Allah, hidupkanlah hati kami dengan cahaya cintaMu dan jadikanlah kami antara hamba-hamba yang Engkau cintai…


Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk mencintaiMu sepenuh hati kami dan redha kepadaMu atas setiap segala usaha kami…


Ya Tuhan kami, jadikanlah kami bagi-Mu akan apa yang Kau cintai…”
################################

Sunday, July 18, 2010

Barokallahulakuma

semoga berbahagia..(",)

Sunday, May 2, 2010

Dedikasi Khas

Bulan Mei; Kata orang bulan kasih sayang.
Bulan inilah sambutan hari yang penting
seperti Hari Buruh- 1 Mei,Hari Ibu -9 Mei, Hari Guru -16 Mei.
Bulan ini juga 4 orang sahabatku menyambut hari kelahiran mereka.
1 Mei - Syuhadah (24)
2 Mei - Nor Aida (24)
4 Mei - Gee (23)
6 Mei - Ira (24)
Semoga hari-hari kalian dipenuhi barakah dan dibawah lembayung rahmat Ilahi senantiasa.
Semoga ikatan ukhwah kita semua berkekalan.
Sayang antuna.

Monday, March 22, 2010

Tour de Kelantan




Alhamdulillah,, perjalanan dan pengembaraan selama 3 hari yang meninggalkan 1001 kenangan yang tak mungkin luput dari ingatan. Demi meraikan ikatan dua hati yang menjadi raja sehari, walau jauh nun di seberang tetap hadir menerima undangan. Pertemuan bersama sahabat-sahabiah M3 yang sudah berbulan-bulan tidak berjumpa menguatkan lagi ikatan Rabithah hati. Mendengar tazkirah daripada ustaz yang tinggi ilmunya meyengarkan kembali ruh tarbiyah yang semakin suram dan kelam. Menziarahi Keluarga arwah Fadhiri dan Faizol, menyuburkan kembali semangat juang yang ditinggalkan mereka.  Sungguh pertemuan itu bukan pertemuan biasa, tetapi, pertemuan rahmat...Terima kasih Allah, kerana Engkau mudahkan segalanya..Semoga Perjalanan hari itu di dalam KredhaanMU...

Semoga berbahagia buat ust Nizamuddin dan Ukt Bariyah..

Yang merindui sahabat2ku,
Sg Nibong : 10.54pm

Monday, March 1, 2010

Buatmu sahabat dan teman

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan tika aku
Di uji dengan dugaan

Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan tuhan
Kau katakan rahmatnya mengatasi segala

Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Lirik lagu: UNIC

nota: Sungguh, aku merindui sahabat2ku dahulu. Susah dan senang kami bersama. Mengharungi suka duka, pahit manis perjuangan ini. huhuhu. Mereka tiada ganti. Sehingga kini aku belum menemui pengganti mereka. Ingin saja aku coret nama2 mereka di sini. tetapi terlalu banyak..aku yakin mereka mengetahui siapa 'mereka'.Semoga mereka berbahagia Ya Allah..

Friday, January 22, 2010

Pantas masa berlalu


Hari ini gelaplah usiaku 24 tahun  mengikut Tahun Masihi. Sungguh, pantas masa berlalu meninggalkan kita semua. Tanpa disedari usia makin bertambah. Semoga bertambahnya usia ini, sejajar dengan pertambahan ibadatku. Terima Kasih Allah di atas segala nikmat yang aku kecapi sepanjang aku di dunia ini. Allahu Akbar, ..Tak terhitung nikmatNya. Cuma kadang kala dalam mengecapi nikmat yang diberikan, diri ini sedikit alpa. Apabila sedikit 'teguran' yang diterima barulah tersedar daripada mimpi yang sia-sia.

Dilupa atau Melupakan.
Di saat ini, baru satu message yang aku terima daripada sahabatku. Terfikir juga, mungkin diri ini telah dilupakan.? Atau dek kerana kesibukan rutin harian, masing-masing tersalah ingat, atau terlupa untuk mengingat tarikh ini. Pun begitu, aku tidak pernah melupakan mereka. Bukan aku ingin dihargai, cuma inilah merupakan ingatan ukhwah kita sebenarnya. Mungkin ada yang tersedar tatkala membaca coretan ini, tetapi hisablah diri. Di mana tahap ukhwah kita.? Mungkin diri ini yang kurang memberi membuatkan kurang untuk menerima. Bagiku biarlah kurang menerima asalkan aku tak pernah lupa untuk memberi.

Keterpaksaan yang Menyakitkan

Entah kenapa kali ini aku ingin mencoret panjang. Mungkin pengalaman yang ada, telah membuatkan aku semakin matang. Matang untuk berfikir, matang untuk bertindak dan matang untuk mengadili sesuatu. Kadangkala kita terpaksa berkongsi sesuatu yang tak boleh dikongsi, Tetapi perkongsian itu, telah disalah tafsir. Biasalah manusia ini lebih suka menghukum tanpa mengadili. Adilkah begitu? Adakah kita layak untuk menghukum sedangkan Yang Maha Kuasa itu ada. Semoga Keterpaksaan yang menyakitkan itu, mampu merungkai ruang-ruang dosa pada diri ini. Semoga perkongsian itu, mampu menguraikan titik-titik hitam pada diri ini. Aku yakin, apa yang dicoretkan ini, hanya akan difahami oleh orang-orang tertentu sahaja.

Sudah masanya?
Kini aku sudah berusia 24 tahun. Pelbagai persoalan yang sering ditanya terutama mengenai jodoh. 'kak, bila lagi'?. 'lepas ni akak pula la yer'?. Segala persoalan hanya mampu dibalas dengan senyuman. Soal jodoh? Entah kenapa apabila bersama sahabat, rasa juga tempiasnya. Tatkala berada di sekolah, tak terfikir pula. Mungkin, keadaan keluarga yang tak pernah memaksa atau tidak pernah mendapat desakan, membuatkan aku jarang untuk memikirkannya. Walaupun ada juga suara-suara sumbang daripada jiran, mahupun saudara jauh, namun aku pedulikan saja. Mulut manusia, bukannya mampu untuk ditutup.

Namun, tatkala bersendirian, seringkali aku berfikir: jika yang dipilih tersalah pilihan, yang dipilih tidak sealiran, yang dipilih menghalang perjuangan, yang dipilih banyak permintaan. Sungguh aku masih lagi keliru. Hanya mampu berserah pada yang Maha Kuasa. Sesungguhnya dialah penentu segalanya. Apa yang penting, aku yakin bukanlah dalam masa terdekat ini . Banyak lagi tanggungjawab yang perlu aku lunaskan. Sungguh, begitu berat bebanan ini. Kadangkala aku merasa letih, namun aku tidak boleh berhenti walau seketika. Walaupun aku tidak mampu berlari cukuplah hanya sekadar berjalan, mahupun merangkak. Melihat 2 orang sahabat syahid, hati ini teruja. Aku ingin seperti mereka. Namun, aku tahu, banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk itu. Allah..Allah.

Semoga coretan ini tidak disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Ya Allah Redhailah hidupku, hidup keluargaku, hidup sahabat2ku, hidup pejuang-pejuang agamaMu dan hidup kaum muslimin dan muslimat sekalian alam.
Allahhu Rabbi. Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah...

23 Januari 2010
9.40 am
Bayan Lepas.

Monday, January 11, 2010

Suratan Ilahi


Hati ini terkedu tatkala menerima sms menyatakan salah seorang sahabat penulis sudah pergi bertemu Sang Pencipta. Kira-kira jam 5 lebih pagi semalam. sms demi sms yang diterima. Kemudian usai subuh dapat lagi sms yang menyatakan seorang lagi sedang parah. Allahu Akbar. Hanya mampu berdoa. Namun, tepat jam 10.55 seorang sahabat jauh nun di Sabah bermsg dan mengatakan Allah lebih sayangkan Fadhiri. Terkaku. Sungguh, sebagai senior dan pernah melalui tarbiyah dan gerak kerja yang sama tatkala berada di kampus dulu, sangat terasa dengan pemergiannya. Penulis yakin, sahabat terdekat dan keluarga mereka bahkan lagi. Apapun semua perlu terima dengan berlapang dada, sesungguhnya kematian itu pasti. Semoga kalian ditempatkan di kalangan para solihin. Antum pergi meninggalkan nama, dengan peribadi yang sangat mulia. Al-Fatihah buat akhi  Mohd Faizol Abd Syukur(kiri) dan Mohd Fadhiri Mohd Arifin.

                   

Tuesday, December 15, 2009

Hijau Kuning NegeriKu

Tanggal 12/12/2009 yang lepas berlangsungnya walimah salah seorang sahabatku, Siti Adibah dgn Ahmad Fuad. Baitul dakwah yang dibina ini, diserikan dengan kehadiran sahabat dan sahabiah nun jauh daripada pantai timur dan selatan. Kehadiran sahabat sudah tentu menggembirakan hati yang kian gementar dan resah dengan tanggungjawab yang bakal digalas. Kecerian yang terpancar diwajah kedua pengantin, membuatkan para tetamu yang hadir tersenyum gembira melihatnya. Semoga Baitul Dakwah yang dibina, diredhai dan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T dan dikekalkan jodoh hingga ke akhirat sana…amennn.
“barokallahu lakuma wa baroka 'alaikuma wa jama'bainakuma fi khoir..”

Memori di Kedah

Kehadiran sahabat-sahabat daripada jauh sungguh menggembirakan hati penulis. Oleh kerana rumah Adibah tidak berapa jauh daripada rumah penulis jadi kehadiran mereka disambut dengan hati yang terbuka. Program ziarah sahabat dan sahabiah yang berada di sekitar Kedah berjalan dengan lancar dan tak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Hampir 4 bulan kami tidak bersua muka, Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menyiram kembali ikatan ukhwah yang telah lama bertaut. Sesungguhnya inilah kali pertama sahabat dan sahabiah yang berada di UPSI bertandang ke rumah penulis. Pengembaraan sekitar Kuala Nerang, Pendang, Jenun, Gurun, Sg Petani, Merbok, Alor Setar dan juga Tanjung Dawai menimbulkan kenangan yang tak bisa dilupakan. Pengalaman memandu kereta manual dengan jarak yang paling jauh, kereta dilanggar HONDA CR-V, Menaiki bot daripada Tanjung Dawai  ke Pantai Merdeka, Makan di RFC(Radix Friend Chicken) adalah pertama kali yang dialami oleh penulis selama 23 tahun menetap di bumi Jelapang Padi. Syukur yang tidak terhingga kepada Allahu Rabbi kerana masih diberi kesempatan untuk merasai ini semua sebelum nyawa dipisahkan daripada badan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Pengembaraan bukan sekadar berziarah tetapi melihat keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Kuasa. Melihat sawah padi yang menghijau sejuk mata memandang, Sungai, Kolam dan Laut yang terbentang luas, Matahari yang terbenam diufuk Barat menyebabkan hati-hati sentiasa berzikir memuji KebesaranNya,. Ingatan dan saling memesan semasa sendiri menyebabkan tarbiyah yang kian pudar kembali bersinar. Semoga pengembaraan kami selama 2 hari ini diberkati oleh Allah S.W.T.

Jazakallah kepada semua yang sudi bertandang ke Kedah. Jangan serik untuk mai lagi..Ukhwah Fillah.


Di Hadapan Bendang dekat dengan rumah

Thursday, November 19, 2009

Ujian dan Sahabat



Tatkala diri diuji dengan pelbagai ujian,
Aku kebimbangan dan jadi tak keruan,
Hanya mampu berserah kepada Tuhan,
Takut diri hilang pedoman.

Ketika sakit mendampingi diri,
Aku cuba menyelami hikmah yg tersembunyi,
Aku singkapi dosa & noda dalam hati,
Mungkin ini kifarat diri.

Ketika hati disakiti,
Tiada teman untuk ku kongsi,
Tiada kasih untuk temani,
Lantas ku serah pada Ilahi.

Tatkala rindu teman dahulu,
Potret ditatap pengubat rindu,
Doa dipohon penyejuk Qalbu,
Rasa mereka dekat denganku.

Sungguh, aku rindukan saat dahulu,
Saat sama-sama berfikir tanpa rasa jemu,
Ketika kita sama-sama menangis,
Segala kepenatan dan cabaran kita mampu tepis.

Kini aku mengembara sendirian,
Teman-teman jauh dari pandangan,
Aku perlu kuat supaya tidak 'kelemasan',
Inilah hakikat sebenar sebuah kehidupan.


p/s: setelah tiga hari MC dan tak ke sekolah, 'sepantas kilat' pun menyepi daripada 'memberi' di alam maya ini.




Tuesday, November 10, 2009

Berkelah


"Rus, nak pi kelah dengan nti hari ni". Kata seorang sahabat penulis beberapa tahun lepas. Lalu penulis pun balas "Kelah? kat mana? ana ada kelaslah". Lalu sahabat tadi message semula; "maksud ana kelas la". Owh baru penulis faham rupanya kelah=kelas bagi orang kelantan. Manakala kelah=picnic bagi orang utara. Lucukan!!Teringat lagi waktu itu, baru mula rapat dengan budak2 kelate di UPSI. Itulah, 'speaking' kelate lagi dengan orang utara. Apabila teringat peristiwa lalu, pasti tersenyum sendiri.

Sekarang pun SMS yang diterima daripada sahabat yang berasal daripada pantai timur terpaksa penulis baca dua tiga kali supaya tak salah faham. Biasalah gara-gara salah faham sahaja macam2 boleh terjadi. perselisihan, pergaduhan, semuanya hanya gara-gara satu text message yang biasa. Biarlah terpaksa ambil masa yang lama pun, asalkan perselisihan tidak tercetus.

Pada hari Ahad yang lepas, 8 November 2009, penulis berkesempatan mengajak seorang sahabat baik di UPSI dulu, yang sama-sama posting di  Penang datang berkelah di laut yang berdekatan dengan rumah kakak penulis. Alhamdulillah, perkelahan selama beberapa jam ini berjalan dengan penuh ceria dengan tawa kanak-kanak. Semoga ukhwah yang terbina antara penulis dan k.as bertambah erat..



K.as, Wardina,  wahida dan wajihah


penulis, k.as, K.Za serta anak-anak


Bersantap 


wardina, udin dan alia (anak-anak asuhan kakak)



Sunday, November 8, 2009

Jumpa yang baru, yang lama tidak dilupa


Salam Perjuangan
Tiba-tiba teringat detik-detik hari jumaat lepas. Sepatutnya penulis bergerak ke KL kerana ada satu program di samping dapat bertemu sahabat lama yang sudah beberapa bulan tidak bersua muka. Namun, disebabkan ada sedikit masalah teknikal, hasrat tersebut terpaksa dilupakan. Sedih juga rasa hati. 

Namun, seusai Dhuha pada pagi Sabtu, penulis menerima panggilan daripada seorang sahabat. Katanya ingin ajak sertai permainan Bowling anjuran Nisa' dan KRL (Kelab Remaja Lestari). Selepas 15 minit menunggang moto, penulis sampai di tempat program, Kompleks Bukit Jambul (BJ). Selepas beberapa minit menunggu K.As, yang tinggal berdekatan Kompleks BJ kami bersama-sama bergerak ke tempat program yang terletak di tingkat atas sekali.

Di sinilah bermulanya perkenalan dengan sahabat-sahabat yang baru. Rasa rindu dan terkilan gara-gara tak dapat pergi KL terubat disini. Kami berkenalan dan bercakap dengan penuh mesra, seolah-olah sudah lama mengenali antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan Ukhwah Fillah. Bertepatanlah dengan Firman Allah "sebenarnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara". Selepas pendaftaran, kami mengikut kumpulan masing-masing dan permainan bowling dimulakan. Yang pasti inilah kali pertama penulis bermain dan memegang bola bowling. Alhamdulillah hasil tunjuk ajar daripada orang yang dah lama main, dapat 2 kali strike (jatuhkan semua pin) daripada 10 pusingan. huh, macam tak percaya aja. Setelah semua kumpulan selesai semua pusingan, sesi penyampaian hadiah berlangsung. Sebenarnya, perlawanan bowling ini, adalah untuk meraikan sahabat-sahabat yang akan kembali ke Mesir setelah beberapa bulan bercuti. Acara tamat kira-kira jam 1.15 petang.

Pengalaman pertama kali bermain bowling ini, sudah pasti tak dapat dilupakan. Dapat pula berkenalan dengan sahabat yang datang daripada pelbagai bidang pekerjaan dan juga negeri. Jumpa yang baru, namun yang lama masih segar dalam ingatan.

Tuesday, November 3, 2009

Salam Imtihan


Selamat menghadapi peperiksaan buat semua adik2 di UPSI. Semoga kejayaan dalam genggaman. Buktikan Umat Islam sentiasa boleh. Do your best and let Allah do the rest.

Tuesday, October 20, 2009

Kembali ke sana...


Seusai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), penulis dah berhijrah (bukan tetap) ke Penang. Tinggal bersama kakak yang ke-4 (k.za). Sambil itu, bekerja sementara bersama kakak ke-5 (kak ah) yang tinggal tak jauh daripada rumah kak za.. Kemudian sambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.(KMPP). Semasa di UPSI pun lebih kerap balik Penang berbanding Kedah, kerana pengangkutan yang lebih mudah. Kalau balik kedah terpaksa naik 4 buah bas untuk sampai rumah berbanding 2 buah bas sahaja nak ke Penang.

Dua Minggu lepas, apabila keputusan penempatan untuk bakal guru (GSST) sudah diketahui di seluruh Malaysia melalui Laman web KPM, penulis disahkan ditempatkan di Negeri Pulau Pinang. Penempatan di penang ini, sudah tentu menggembirakan keluarga kerana tak jauh dengan rumah. Tatkala majoriti sahabat akan diterbangkan ke Sabah dan ada juga yang akan berjauhan dengan keluarga, Penulis dikira beruntung. Walaupun hakikatnya penulis ingin merantau jauh. Kalau ikutkan hati ingin ke Selangor atau Sabah. Mungkin ingin mengembara mencari pengalaman sebelum berbakti di tanah kelahiran sendiri. Pun begitu, kuasa Allah mengatasi segalanya. Kita sebagai hambaNya, kena akur dan redha dengan apa yang telah ditetapkan. Kerana ia adalah terbaik untuk HambaNya. Penulis yakin, penempatan di Penang ini, mempunyai banyak hikmahnya. Sudah pasti salah satunya mudah untuk menjenguk mak dan ayah yang telah berusia di kampong.


Sebagai bakal pendidik yang masih belum banyak pengalaman, sudah tentu agak bimbang, terutamanya terpaksa mengajar di penang. Kakak pernah cerita bahawasanya pelajar di sana tidak banyak bezanya dengan Kuala Lumpur. Penang ibarat ‘Kuala Lumpur Utara’. Walaupun belum diketahui sekolah apa yang bakal memberikan pengalaman yang pahit dan manis, penulis sentiasa mendoakan Allah bagi yang terbaik untuk penulis. Apapun semoga redha mengiringi diri.

Buat sahabat-sahabat yang akan dipostingkan minggu depan ; 26 October 2009, bermulalah lembaran hidup kita yang baru. Pasti penuh dengan warna-warni ibarat warna pelangi. Semoga semua mampu menjadi muallim/muallimah yang dedikasi dan proaktif. Semoga bertemu lagi..jika tidak di dunia, InsyaAllah di ‘sana’.

'Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta'
(aku adalah anak panah daripada panahan Islam,

 kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang)

Kawan Baik

Bukannya senang nak cari kawan yang baik
Bukan senang juga nak menjadi kawan yang baik.
Kawan yang baik tak pernah mengumpat di belakang kawan baiknya.
Kawan yang baik tak pernah cemburu dengan kejayaan kawan baiknya.
Sebaliknya kawan yang baiklah yang paling banyak membantu kawan baiknya untuk mencapai kejayaan.


Kawan yang baik tak pernah mempengaruhi kawan baiknya untuk membuat perkara yang buruk dan sia-sia.
Kawan yang baik adalah orang yang selalu menasihati kawan baiknya untuk berbuat kebaikan
Kawan yang baik adalah orang pertama yang akan dicari bila tiba masa sedih atau gembira.

Kawan baik menjadi tempat kita meluahkan perasaan yang tidak dapat diluahkan kepada kawan biasa.

Kawan yang baik tak pernah memaksa kawan baiknya untuk sentiasa berada di sisinya.
Kawan yang baik tak pernah melarang kawan baiknya untuk berkawan dengan kawan yang baik.
Kawan yang baik tak pernah cemburu jika kawan baiknya mempunyai ramai kawan baik,
kerana kawan yang baik tahu apa yang paling baik untuk kawan baiknya.
Kawan yang baik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan kawan baiknya di dunia dan di akhirat di dalam doanya.



Kita adalah kawan yang baik jika kita faham bahawa kawan baik kita bukanlah seorang yang sempurna.
Kita adalah kawan yang baik jika kita menjadi kawan yang baik kepada kawan baik kita.


Kita bukanlah kawan yang baik jika kita tidak menghargai kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan sentiasa menghargai kawan baiknya.
Kita bukanlah kawan yang baik jika kita tidak memberitahu perkara yang baik kepada kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan selalu menyampaikan perkara yang baik kepada kawan baiknya.
Dan kalau kita nak dapat kawan baik yang baik, kita mesti lebih dahulu menjadi seorang kawan yang baik...kepada kawan baik kita. MENJADI BUKAN MENCARI.






p/s : Hargailah kawan baik anda..Mungkin kawan baik yang kita peroleh hari ni tak akan kita dapat lagi pada masa hadapan.. hargailah benda di depan mata.
Sekali kita berkawan selamanya tetap kawan.
I love all my friends.. Exspecially para perjuang kebenaran.
Ukhwah Fillah never die.


Tuesday, October 13, 2009

Wednesday, October 7, 2009

Meniti debaran





'Assalamualaikum sahabat sayang, apa habaq, su dan k.mimi dapat Sabah' - Nasuha
'Salam sahabat, ana dapat Sabah' - Noraida
'Ana dapat Sabah' - Syuhadah
'Sahabat2ku sayang ana akan diterbangkan ke Sabah' - Ejah

Itulah messange dah panggilan telefon yang aku terima semalam dan hari ni daripada sahabat seperjuangan. Semuanya Bakal2 Guru Matematik..Allahuakbar..
"Alhamdulillah rezeki Allah kat sana. InsyaAllah x sabar nak dgr enti dapat sana juga" - Ejah...
erm,,dengar brita ramai yang dapat sana,..aku pun harap yg dapat posting Sabah juga..hehe
..apapun,..aku terus menanti dan terus menanti..
Sahabat2ku, Teruskan perjuangan kalian.Biarlah di mana pun, yakinlah Hikmah Allah itu luas..
Yang penting Ukhwah yang kita semai takkan berakhir di sini.
Buat sahabat yang masih menanti jawapan,sabar2 lah yer,
Allah akan bagi apa yang terbaik buat HambaNya.
"Ya Allah lapangkanlah dada kami untuk menerima Qada'Mu.."


Sahabat sekalian, sematkan kata2 ini dihati
"nahnu romyun min rima yatil Islam, far mi, ainamasyikta" 
(kami adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja kami dicampakkan,
disitulah kami akan berjuang')





Insan Dalam Penantian,
7 October 2009
3.50 pm

Saturday, October 3, 2009

Thank You!!!!






To those of you who laughed at me, thank you.
Without you I wouldn't have cried..

To those of you who just couldn't love me, thank you.
Without you I wouldn't have known real love.

To those of you who hurt my feelings, thank you.
Without you I wouldn't have felt them.

To those of you who left me lonely, thank you.
Without you I wouldn't have discovered myself.

But it is to those of you who thought I couldn't do it;
It is you I thank the most,
Because without you I wouldn't have tried.

Being a good person..we have to sacrifice many things,
Thankz God for giving me a chance....

Wednesday, August 26, 2009

Demi Kasih

Salam Ramadhan Kareem

6 Ramadhan.. Minggu ni cuaca agak mendung. Setiap hari hujan. Sebab ini jugalah aku tiada kerja kerana lori tak dapat berjalan. Sebagai data processor kadang2 kesibukan menghambat diri, hinggakan tiada masa. kadang2 free sampai tak tahu nak buat apa,. Namun sepanjang minggu ni, free je. Bagiku ini adalah kesempatan yang Allah bagi. Tuntas aku gunakan masa ni sebaiknya. Melayari internet, mencari pengisian dengan melayari blog sahabat sahabiah. Juga memberi ruang untuk mengupdate blog sendiri..selepas YM dengan juniorku, jaa, perasaan sedih sedikit melanda..erm..nampaknya peluang aku nak jumpa mereka minggu ni tak kan kesampaian. Tak palah aku redha.

Pun begitu, hajatku untuk melawat aisyah yang terlantar di hospital Teluk Intan semoga dipermudahkan. Rancangnya bertolak esok, sempatlah menjaganya semalam. Bimbang juga, tiket tak beli, main redah je esok. Nak pegi Alor Setar jauh. Dengan keadaan cuaca yang tak menentu, aku tak rasa kuat untuk membawa ‘mujahidah’ku. Namun aku tekad..Hati ini tak kan puas selagi tak melihat keadaanya sendiri. Hanya mendapat khabar daripada sahabiah sahaja. Belum cukup bagiku. Biarlah, habis duit sikit,.apalah sangat duit tu kalau dibandingkan kemanisan ukhwah yang Allah beri ni. Dah hampir 3 tahun aku mengenalinya. Banyak suka dan duka yang kami lalui bersama. Aisyah tunggu akak yer.

"Tidak sempurna Iman seseorang, sehingga ia menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri" - Al-hadith.

Monday, August 24, 2009

Terkenang saat itu....




Surau Al-Falah dalam Kenangan

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.
Segala pujian hanya untuk Mu Ya Allah, diatas nikmat Iman dan Islam yang masih lagi segar di sanubari ni. Seusai tadabbur Al-Quran, hati ini meminta-minta untuk menulis sesuatu. Hujan yang lebat diluar sana seolah2 mengerti dan memahami hati dan perasaanku. Rindu, resah, sedih, gembira semua bercampur baur. ntah kenapa. Hari ni dah 3 Ramadhan. Dah 3 malam terawikh di masjid berdekatan rumah dan berbuka puasa di rumah sendiri..

Sebelum ni, bersama sahabiah di kampus, ramai sekali. Setiap kali berbuka, pasti Surau Al-Falah menjadi tempat kunjungan. Walaupun bermenukan bubur lambuk, namun itu sudah mampu mengenyangkan, apatah lagi dapat berjumpa sahabat2, tiada yang lebih bermakna.. sekali sekala di hujung minggu ada lah juga makan makanan berat. Terawikhnya pula, lagi terasa, dengan kehadiran sahabat disisi, kekusyukan makin bertambah. Seusai terawikh, bertadarus ramai-ramai, tazkirah yang dikongsi selepas tadarus juga banyak ‘isi’nya dan menjadi Ramadhan lebih bermakna.. Kemudian sambung pula dengan meeting unit..Setiap malam dibulan Ramadhan pasti itulah rutinnya. Walaupun tiada masa rehat, tapi tak pernah mengenal letih..

Namun kini, segalanya berubah. Berbeza sekali. 5 tahun menyambut puasa ditempat orang; 1 tahun di KMPP, 4 tahun di UPSI, kini kembali ke negeri yang dicintai. Berbuka bersama keluarga memang menggembirakan, namun tak semeriah di kampus,. 4 orang sahaja ; aku, mak, ayah dan adik bongsu. Rutinnya dah tak sama macam dulu. Lepas solat maghrib, tadabbur Quran, then 8.30 bergegas ke masjid. Lepas trawikh terus balik rumah, kalu penat terus terlelap. Siang pula, subuh pergi masjid dengan ayah, then 7.45 bergegas ke tempat kerja, 4.30pm balik rumah, solat, tolong mak, dan begitulah rutin seharian. Di masjid nak jumpa orang sebaya aku, mana ada lagi, semuanya lebih kurang mak dan ayah.

Kadang2 fikir mana hilangnya anak2 muda yer. Kalu solat Raya penuh masjid sampai tak cukup kuota. Kanak-kanak ramailah yang membingitkan telinga. Kadang naik marah juga, hilang kusyuk. Tetapi kasihan pula, kepada siibu mahupun sibapa, pengasuh tiada, anak terpaksa dibawa, kalu dirumah tiada yang menjaga. Tak salah sebenarnya membawa kanak-kanak ke masjid, kerana ini salah satu proses utuk mendidik mereka juga. Tapi mestilah ada larangannya, ada amrannya; jangan bising, hormati jemaah yang sedang solat,. Kanak-kanak pasti mendengar kata kalau betul caranya. Ini sampai je di masjid, “ha, tu kawan pi main”. Salah caranya tu..

Apapun aku Bersyukur masih diberi kesempatan dan kekuatan untuk meneruskan sisa2 hidupku,. Semoga segalanya di dalam keredhaan Allah...Buat mereka yang masih dikampus hargailah setiap detik bersama sahabat, mungkin ini yang terakhir..Salam Kerinduan..



.: Pegangan Da'ie :.

Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta

(aku adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang')



'aslif nafsak wad'u ghairak (Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)