Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

Saturday, November 14, 2009

CIRI-CIRI TAQWA


Terjemahan Hadis:

"Daripada Abi Hurairah bahawa Rasul SAW. Bersabda : Tidaklah boleh dikatakan kuat (gagah) itu, kerana kuat bergusti, bahkan kekuatatan yang sebenar itu ialah mereka yang dapat menguasai dirinya ketika marah"

Keterangan Hadis:

Salah satu daripada sifat yang dikurniakan Allah kepada hambaNya ialah kegagahan tubuh badan. Ianya sangat berguna dan dipandang tinggi, tetapi ramai orang salah faham dalam menggunakan sifat itu, kerana mereka menganggap bahawa orang yang kuat bertinju atau bergusti itulah yang paling kuat.


Dalam hadis di atas Rasul SAW. Menegaskan bahawa orang kuat sebenarnya ialah orang yang mampu mengawal atau menahan kemarahannya apabila ia marah dalam dirinya. Bukanlah orang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengalah lawan di gelanggang, kerana kekuatan manusia adalah sama sahaja cuma caranya berbeza, sebab itu kadang-kadang tentera yang bilangannya sedikit boleh mengalahkan tentera yang ramai dan kadang-kadang orang yang kecil dapat mengalahkan orang besar dengan cara yang tersendiri. Kerana sifat marah itu boleh merosakkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta maruah dan masa depan sendiri, kerana pada waktu seseorang itu marah ia tidak dapat menimbang dengan akal yang waras yang mana baik dan yang mana jahat cuma pada waktu itu ia hanya utamakan perasaan dan nafsunya tampa boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain, maka berkesudahan dengan penyesalan yang amat sangat. Tegasnya kekuatan yang sejati bukan terletak pada kekuatan jasmani, tetapi pada kekuatan rohaninya.

Oleh itu hendaklah kita lawan perasaan marah kita yang timbul dalam diri kita hingga dapat dikalahkan. Dengan itu kita akan mendapat kejayaan besar dalam perjuangan dan kerana itulah dikatakan sebenar-benar kuat dan gagah perkasa. Sesuatu pertimbangan yang adil dan sebenar itu hanya dapat dibuat ketika perasaan tenang.

Pengajaran Hadis
  • Bukanlah orang yang gagah itu mereka yang kuat bertarung di medan
  • Sebenar-benar orang yang kuat ialah mereka yang dapat menguasai diri apabila ia marah.
  • Hendaklah kita kalahkan perasaan marah, kerana ia boleh merosakkan diri

Tuesday, September 8, 2009

Terpedayakah aku?

‘Eh, kenapa buka lampu ni’?(1) tanya seorang sahabat beberapa bulan lepas. Aku menyoal kembali “kenapa”?(2) soalan yang dijawab dengan soalan. “Biarlah gelap baru lebih kusyuk” pintanya. “Ok”. Aku tutup kembali lampu itu, lalu kami bersama2 dengan Sang Kekasih disepertiga malam. Tenang, damai, tiada lagi hangar –bingar kenderaan lalu lalang mahupun suara2 manusia yang membingit telinga. Tiba waktu Subuh. Sahabatku buka lampu. Aku bertanya soalan yang sama kepadanya. Dialog (1&2) yang sama tetapi wataknya bertukar. Lalu aku bertanya “takkan kita nak kusyuk ketika qiamulail sahaja, bagaimana pula dengan solat subuh, solat yang wajib, tak mahu kusyuk?”. Dia diam. Ingat, kita jangan menjadi golongan yang terpedaya iaitu orang-orang yang hanya mementingkan fadilah dan sunnah, tetapi fardhu mereka abaikan. Mereka bahkan jauh sekali tenggelam dalam keadaan pertentangan berlarut-larut. Mereka ini menyangka perbuatan seperti itu dianggap baik oleh Allah. Padahal yang demikian itu adalah perbuatan Ghurur semata.
Mereka yang terpedaya

Seringkali manusia terlalu menitik beratkan perkara-perkara sunat berbanding perkara-perkara wajib. Sedangkan yang wajib itu, jika tak buat berdosa hukumnya. Kita solat terawikh, tetapi solat fardu kita tak buat. Kita berusaha untuk kusyuk di sepertiga malam, namun kita mengabaikan kekusyukan solat fardu. kita menghabiskan masa malam bersama Dia, tetapi di kala subuh, kita tersengguk-sengguk membaca surah. Kita sibuk menjaga supaya puasa kita tak batal tapi kita tak menjaga pahala puasa kita. Kita lebih utamakan solat sunat hari Raya berbanding Solat Jumaat (bagi lelaki).

 Kita
hanya memperbanyak ibadah lahir dengan mengabaikan pemeliharaan hati/batin. Padahal hati/batin adalah pangkal dari segala ibadah. Dan seseorang tidak akan selamat kecuali menghadap Allah dengan hati/batin yang tulus.
Orang Ghurur hanya mempercantik lahiriahnya dan mengabaikan batinnya. Rasulullah SAW bersabda : “Bahwasanya Allah tidak memandang rupa dan hartamu, melainkan hati dan amalanmu.”

Contoh lain, ada orang yang selalu ragu-ragu dalam berwudhu. Mereka sangat berhati-hati dalam menggunakan air, menginginkan kesempurnaan dalam berwudhu yang telah ditetapkan sucinya oleh syara’. Mereka menentukan ihtimal-ihtimal dalam bentuk najis. Yang jauh dikatakan dekat, hingga akhirnya ia bersusah payah mencari air, dan kadang-kadang lalai mengerjakan yang fardhu.

Kesimpulan
Pembaca sekalian, janganlah kita digolongkan orang yang terpedaya. Sibuk mengejar benda kecil tetapi benda besar kita abaikan. Jangan kita tertipu dengan banyaknya ibadah, sedangkan belum tentu Allah terima ibadah itu.Tanda Allah memberi kebaikan kepada hambanya ada tiga. Pertama, ia tidak pernah berniat untuk melakukan kebaikan tetapi Allah mendorongnya melakukan kebaikan. Kedua, Ia berniat melakukan kejahatan tetapi Allah menghalangnya. Ketiga, Allah membuka pintu hatinya untuk sentiasa mengharap dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa.
Ya Allah jauhilah aku daripada sikap Ghurur.Ikhlaskan aku dalam melakukan ibadat kepadaMu.

Saturday, September 5, 2009

Istidraj

Istidraj adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.
Rasullulah s. a. w. bersabda :
"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat keliru dengan pemikirannya, mereka merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit bertimbun-timbun, dia hidup senang dan lenang. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul'Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt. Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur.

Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Ya Allah, Jauhkanlah aku daripada istidraj...hiasilah hati aku dengan sifat-sifat mahmudah..

Tuesday, September 1, 2009

Ingat sebelum Lupa



Salam Ramadhan.
Seinfiniti kesyukuran Kepada Allah S.W.T dengan nikmat Islam dan Iman yang masih lagi subur ibarat sesegar bunga-bunga di taman, juga nikmat kesihatan yang masih lagi kuat untuk meneruskan amal ibadah. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kerana jerit dan perih baginda memperjuangkan Islam, hari ini kita dapat mengenal erti Islam yang sebenar. MasyaAllah setelah seharian mencari idea untuk menulis, akhirnya terjahan idea muncul di kubik pemikiran. Apa yang penulis ingin kongsi, adalah kisah permusafiran penulis beberapa hari yang lalu. Syukur ke hadrat Yang Esa kerana dipermudahkan urusan untuk penulis melawat sahabiah yang kemalangan dan sedang terlantar dihospital Teluk Intan, walaupun terpaksa naik 4 buah bas dan lama menunggu dek kerana kehabisan tiket, apapun inilah tarbiyah daripada Allah untuk mendidik diri penulis menjadi seorang yang penyabar tambahan lagi di bulan penuh keberkatan ini.

Seusai sampai di sana lebih kurang 7.30pm dah pun masuk waktu berbuka. Aishah belum lagi sedarkan diri kerana baru menjalani pembedahan. Erm sebenarnya inilah pengalaman pertama penulis tidur dihospital dan menjaga orang sakit. Lebih kurang jam 10 lebih aisyah sedarkan diri..Sayu dan peritnya tengok keadaan beliau. Beberapa jam kemudian dia sedar lagi, dan mengerang kesakitan, mungkin kerana ubat bius kesan pembedahan sudah berkurangan. Namun diri ini hanya mampu memberi kata semangat untuk menenangkan hatinya. Cuba banyangkan, sahabat yang sebelum ini, begitu tegar, bergelak ketawa dengan kita, tiba2 terlantar di atas katil; bangun tak boleh, berjalan apatah lagi, hati mana tak sayu, Jiwa mana tidak pilu. Apapun penulis Redha dengan ujian ini. Sebagai sahabat penulis hanya mampu berdoa supaya Allah memberi kekuatan kepada Aishah dan dikurangkan rasa sakitnya.

Melihat keadaan Aishah yang terlantar kesakitan, sebagai orang yang boleh berfikir dengan pandangan akal, melihat pula dengan mata hati, nescaya kita akan mengambil pengajarn disebaliknya. Sesungguhnya kita tak tahu bila waktu dan ketika datangnya ajal, maut, sakit, mahupun sihatnya kita. Justeru kita perlu bersedia supaya “tak hanyut apabila hilangnya dayung dalam pelayaran”. Kejadian ini, bersesuaian dengan hadis Rasulullah S.A.W iaitu baginda mengingatkan umatnya supaya ingat 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara.

Apabila kita memiliki sesuatu, jarang benar kita bersyukur dan memaksimumkan ‘keberadaan’ itu. Ketika ibu bapa kita masih hidup, jarang benar kita ziarahi mereka. Atau kita ambil sikap tidak peduli. Selepas orang tua meninggal dunia, barulah kita tahu betapa bernilainya kasih sayang mereka yang tidak dapat ditukar ganti. Begitu juga dengan diri kita. Kita tidak peduli anggota badan kita termasuk hati. Apabila buta baru kita tahu nikmat mata, apabila kaki dipotong barulah kita tahu nikmat kaki, apabila sakit baru kita tahu nikmat kesihatan.
Berbicara tentang Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara tentu umum sudah tahu perkara tersebut.
1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Kaya sebelum miskin
4. Lapang sebelum sempit
5. Hidup sebelum mati.
Cuba perhatikan satu-satu perkara tersebut dan fikirkan sedalam-dalam makna yang terkandung disetiap perkara itu.

1. Sihat sebelum sakit – lakukan sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan kpd diri kita dan orang2 disekeliling kita semasa kita masih sihat. Beramallah sebanyak2nya, kerna apabila nikmat kesihatan ini ditarik, kekusyukan dalam beramal pun makin berkurangan.

2. Muda sebelum tua – waktu kita muda inilah saatnya kita berusaha mencari keredhaan Allah kerna mati itu datangnya tiba2. tak perlu tunggu usia tua. Apabila sudah tua, badan pun kurang berupaya, nak beribadat pun, susah jadinya.

3. Kaya sebelum miskin – Waktu kita kaya berharta itulah kita boleh menolong orang yang lebih susah drp kita kerana sedekah yang ikhlas akan jd bekalan kita menghadap Yang Esa.

4. Lapang sebelum sempit – Waktu kita masih ada kelapangan inilah waktu yang paling sesuai mendalami ilmu agama, melakukan amal ibadat dan membuat pelbagai kebaikan sebelum sibuk pelbagai urusan.

5. Hidup sebelum mati – Sesungguhnya sewaktu hidup semua 4 perkara di atas boleh kita lakukan..namun apabila kita telah tiada hanya amal soleh,sedekah dan doa anak yang soleh yang mengiringi kita. Jadi gunakalah masa hidup ini dengan sebaiknya, jangan disia-siakan begitu saja.


Seringkali di Bulan Ramadhan ini, ramai yang berdoa supaya dimurahkan rezeki, dipermudahkan jodoh, dikurniakan anak yang soleh, dan sebagainya, namun jangan kita lupa untuk berdoa supaya Allah mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu dan akan datang.

Ya Allah kuatkanlah aku untuk terus melangkah dan melangkah. Redhailah hidup HambamU ni Ya Rabbul Izzati.

Tuesday, August 25, 2009

Hidayah Milik Allah

Dakwah – short and simple six alphabets word, but representing a tremendous and significant outcome.


Firman Allah S.W.T :
Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125)

Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, ilmu dan perangai.

Dakwah mempunyai pengertian yang sangat besar namun secara mudahnya mengajak manusia ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran. Pelbagai method terdapat dalam berdakwah; secara lisan, penulisan, akhlak dan sebagainya. Para cendiakawan ramai yang mengungkapkan kata2 hikmah berkaitan dakwah untuk menunjukkan begitu pentingnya dakwah dalam kehidupan.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah mengungkapkan:

" akan ku sampaikan dakwah ini hingga sampai kepada bayi di dalam rahim seorang Ibu"

Nah!, tentu kata2 ni mampu membuat kita berfikir sejenak tentang diri kita. Apa yang penting sebagai pendakwah zaman era moden, kita jangan terlalu jumud sehingga terlalu bersikap ‘copy’ and ‘paste’. Tiada kekreatifan dalam berdakwah. Kita perlu insaf dan sedar bahawa musuh2 Islam telah bertukar topeng dan mad’u telah bersalin kulit. Kadang2 ‘approach’ kita yang kurang menjadi, membuatkan mad’u melarikan diri seolah2 Islam ini menyusah dan menakutkan.
Jika para pembuat filem boleh menganalisis hati para penonton dan peminatnya bagi menghasilkan filem yang bersesuaian dengan citarasa penonton supaya mendapat pendapatan yang lumayan. MENGAPA TIDAK KITA?. Takkan kita sebagai para dai’e masih lagi dibelenggu method yang lama. Sudah tiba masanya untuk kita berubah. Be creative and innovative. Walaupun tiada ganjaran lumayan di dunia, yakinlah di akhirat itu Pasti.

Tidak pernah mendapat pentarbiyyah sekolah agama atau latar belakang keluarga yang bukan islamik bukan sebab untuk kalian mahupun diri ini daripada tidak faqih tentang ilmu agama..dan usahlah sekali-sekali perkara ini menjadikan kita bersifat rendah diri untuk bersuara, menyampaikan atau membidas pendapat orang lain sekiranya perlu. Kejayaan sebuah dakwah bukan kerana petahnya orang yang menyampaikan tetapi adalah dengan hati yang ikhlas dalam penyampaian. Sampaikan dari hati, InsyaAllah akan jatuh ke hati, maka cahaya Allah akan menerangi untuk melalui jalan yang hakiki.


Ini bukan retorik, apalagi omong kosong, tanamlah 'benih' pada hari ini, kerna kalian akan nampak hasilnya suatu hari nanti. Tumbuh atau tidak biar masa yang menentukan. Kerana 'benih' yang aku tanam beberapa tahun lepas di dalam rumahku makin menampakkan hasil. Dengan ‘baja’ dan ‘serum’ yang ku suntikkan kepada benih2 itu, ada yang sudah mula menumbuhkan pucuk, ada juga yang sudah berbatang, malah ada yang sudah berbunga tunggu masa sahaja untuk 'berbuah'. Namun tak dinafikan terdapat juga benih yang tidak menampakkan hasil..Bersabarkan..Hidayah itu milik Allah, kita hanya berusaha..Apapun jangan sesekali berputus asa.
Berkata seorang ulama tasawuf dalam meraih cinta Allah,
"Keimanan seseorang bukannya boleh diukur dengan ibadah luaran tetapi lihatlah bagaimana ubudiyahnya dalam menghadapi ujian Allah SWT

Sabda Rasulullah S.A.W
Ballighuanni walau ayyah
"sampaikanlah daripada Ku walaupun sepotong ayat".
Dalam berdakwah kadang2 tak perlu pun bercoleteh panjang, memadai dengan menyebut perkataan; "jangan", dengan sebaris penulisan, dan cukup dengan akhlak yang kita tunjukkan. pasti mampu membuatkan orang sekeliling kagum dan terikut-ikutan.. Janji keihklasan hati jadi pegangan.

Apapun Sematkan : 'aslif nafsak wad'u ghairak ( Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)

Selamat berdakwah.

Sunday, August 23, 2009

Zuhudnya Mereka.....

Salam Ramadhan Kareem,
Pada hari Jumaat lepas, bersamaan 30 Syaaban 1430H aku berpeluang melawat Mak Long yang mengambil keputusan untuk tinggal di pondok setelah balik daripada Mekah beberapa tahun yang lalu. Setibanya disana, aku begitu kagum melihat keadaan warga pondok ini. Semua rumah yang didiami kebanyakkanya rumah papan yang telah usang.
Kebanyakkan yang tinggal di sini adalah orang tua yang ingin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Terdapat juga rumah batu yang didiami beberapa keluarga. Seusai sampai di rumah Mak Long lebih kurang jam 12.30 tgh hari, aku mendengar alunan ayat2 suci Al-Quran datang daripada rumah sebelah Mak Long.. Subhanallah sangat mendayu dan merdu.. Menurut Mak Long, anak-anak pak cik tu, semuanya hafal Al-Quran( hafiz & hafizah ).
Dikala manusia kini, yang terlalu dibimbangi dengan ‘wabak’ sekularisme, masih lagi terdapat keluarga yang mempunyai ‘antibodi’ yang kuat sehingga mampu menyanggah pelbagai penyakit yang makin ‘berbahaya’. Hebatnya asuhan yang diberikan dan tarbiyyah yang disuntikkan ke dalam jiwa mereka. Keadaan rumah yang serba kekurangan, berbumbungkan ‘atap’ dan tandas terpaksa dikongsi, adalah pemangkin untuk mendidik mereka menjadi Hebat diantara yang Hebat..
Subhanallah. ditengah kerakusan manusia mengejar harta benda dan kemewahan yang tidak pernah menimbulkan kepuasan, masih wujud lagi manusia yang tak pedulikan semua itu..Wajah pak cik2 dan mak cik2 di sini semuanya bersih dan jernih dek kerana amal ibadat yang dilakukan. Melihat keadaan ni, terdetik di hatiku,, MasyaAllah zuhudnya mereka..tentu sudah banyak amal ibadat yang mereka lakukan..lantas, kubik fikiranku teringatkan kepada sebuah hadis 31 daripada hadis 40..

Dari Abul ‘Abbas, Sahl bin Sa'ad As-Sa'idi radhiallahu 'anhu, ia berkata: “Seorang laki-laki datang kepada Nabi S.A.W lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu perbuatan yang jika aku mengerjakannya, maka aku dicintai Allah dan dicintai manusia’. Maka sabda beliau : ‘Zuhudlah engkau pada dunia, pasti Allah mencintaimu dan zuhudlah engkau pada apa yang dicintai manusia, pasti manusia mencintaimu”. (HR. Ibnu Majah dan yang lainnya, Hadith hasan)

Intisari Hadis :

Zuhud adalah tidak ingin kepada sesuatu dengan meninggalkannya.
Menurut istilah, zuhud adalah berpaling dan meninggalkan sesuatu yang disayangi yang bersifat material atau kemewahan duniawi dengan mengharap dan menginginkan sesuatu wujud yang lebih baik dan bersifat spiritual atau kebahagiaan akhirat. Dalam hadis ni,
ada 2 zuhud yg dibincangkan :-
1) zuhud pada dunia, dikasihi Allah
2) zuhud dengan apa yang ada pada manusia, dikasihi manusia

ZUHUD PADA DUNIA, DIKASIHI ALLAH
Manusia selalunya sinonim dengan kecintaannya pada dunia. memang tidak disangkal lagi, manusia fitrahnya adalah mencintai dunia. Dalam ayat sudi Al-Quran telah digariskan bahwa,

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."(Surah Ali-Imran; ayat 14)

Namun perlu kita ingat bahawa segala-galanya hak Allah dan Allah berhak mengambilnya balik. Jangan sampai nikmat itu melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Maha suci Allah yang berhak mengadakan dan berhak menarik balik nikmat itu. sekiranya berlaku sebarang kecurian ataupun kerosakan kepada harta benda kita, cubalah kita mengawal perasaan kita kerana ini merupakan ujian Allah dan bersikap zuhud lah serta yakinlah bahawa nikmat itu adalah sementara dan hak Allah semata-mata. sikap bersedekah juga adalah salah satu contoh kita bersikap zuhud. kita lebih mencintai akhirat daripada dunia, lalu kita sanggup membelanjakan harta itu ke jalan yang diredhai Allah... pasti balasan Allah itu indah buat manusia yang zuhud kepada dunia.
Singkapi Sirah Junjungan Mulia:-
Sahabat rasulullah ramai yg kaya (seperti Abd Rahman ‘Auf) dan tidak pula dihalang rasulullah, tapi kekayaan itu digunakan untuk dakwah dan jihad. Cth semasa perang Tabuk di mana sahabat-sahabat berlumba-lumba menginfaqkan harta; Abu Bakar seluruh harta, Umar separuh harta. jelaslah, contoh terbaik sifat zuhud dapat dilihat pada zaman Rasulullah SAW.

ZUHUD DENGAN APA YANG ADA PADA TANGAN MANUSIA, DIKASIHI MANUSIA

Zuhud ini dapat dijelaskan dengan tidak meminta-minta atau mahukan hak orang lain kerana menyukai apa yang dimiliki mereka. jika kita zuhud dgn apa yang ada pada tangan manusia, orang lain akan sukai kita atas dasar hormat kerana kita hormat hak dan milik mereka.Zuhud juga tidak bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya, namun mengimbangi dunia dan akhirat. hidup ini biarlah diredhai Allah agar sejahtera di akhirat kelak. Zuhud juga mendidik kita bersyukur dengan apa yang ada pada diri kita tanpa mengeluh dan merungut ; 'apa yang ada jarang disyukuri apa yang tiada sering dirisaukan'.

Antara cara untuk meningkatkan sifat zuhud adalah;
1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat dengan menimbang segala amalannya, yang besar mahupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi.

2. Merasakan bahawa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh, sebagaimana firman Allah,

“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu
megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur; ayat 6)

3. Merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu manusia. Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya,

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (surah An-Naaziat; ayat 37-39)

Demikianlah serba ringkas info mengenai zuhud. Sesungguhnya tangan yang menaip, mata yang melihat, dan otak serta hati yang berfikir sudah tentu lebih dekat kepada tulisan ini, justeru pesanan ini pertamnya buat diriku dan peringatan buat hati ini yang sentiasa leka dengan duniawi. semoga hidup ini diredhai Allah...Semoga madrasah Ramadhan kali ini, mampu mendidik diri kita supaya menjadi lebih zuhud..

.: Pegangan Da'ie :.

Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta

(aku adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang')



'aslif nafsak wad'u ghairak (Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)