Showing posts with label Diri. Show all posts
Showing posts with label Diri. Show all posts

Tuesday, April 20, 2010

Pencarian yang hilang

Hari ini genap sebulan blog ini dibiarkan sunyi tanpa khabar. Idea yang ada hanya disimpan di kelongsong fikiran. Tidak pernah ku biarkan jari jemari ini menari bersama idea tersebut. Bukan kesibukan dengan pelbagai urusan yang menjadi alasan. Tapi dek kerana diri ini merasa 'kehilangan', idea yang ada juga terbang bagai ditiup angin di waktu petang. Kadang kala melihat blog-blog sahabat rancak meyampaikan berita, aku hanya mampu menjadi pembaca. 2, 3 kali cuba untuk menulis, tak pernah habis semuanya separuh jalan. Entah kali ini berjaya habis atau tidak.

       4 bulan berada di sebuah instistusi yang penuh mencabar dan menuntut pelbagai pengorbanan, membuatkan diri ini semakin takut untuk berhadapan dgn ujian. Ramai kawan-kawan rebah di pertengahan. Ada yang sudah mula bertukar pandangan. Cuba mengintai peluang pekerjaan lain. Pegawai Takbir Diplomatik, mencuba nasib dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awan dan pelbagai lagi gara-gara ingin lari daripada institusi pendidikan. Mungkin tak tertahan dengan bebanan kerja yang bertimbunan. Jika tak pandai mengurus masa deritalah penghujungnya. Semua perkara ada tarikh akhirnya, terlambat sikit telingalah mangsanya. Mendengar bebelan dari pihak atasan. Bagi diriku juga begitu. Mungkin 2,3 tahun saja dalam bidang ini. Sungguh, bukan mudah untuk membentuk manusia ini. Bukan putus asa, Cuma kecenderungan mungkin lebih ke arah lain. Apa ya?? Argh.. aku pun belum tahu, masih dalam pencarian,. yang aku tahu aku tidak mampu menjadi seorang guru/muallimah/lausure/ustazah atau apa-apa juga gelaran.  Tak tahulah jika paradigma fikiran ini akan berubah selepas ini. Biasalah, pengalaman itu membuatkan kita lebih matang untuk berfikir dan bertindak.

         Erm..aku cuba untuk mencari titik pemula kepada rasa kehilanganku, aku cuba untuk bangun kembali, aku cuba untuk mencari diriku yang dulu. Aku cuba dan akan terus mencuba. Semoga ku berjaya dalam   mengayuh samudera yang semakin dalam. Aku tak mahu kecundang dan lemas dalam kegelapan. Semoga perjuangan tidak terhenti disini, pengorbanan tidak pernah hilang, persahabatan dan kasih sayang tidak luput ditelan masa dan kesibukan. Sungguh perkongsian rasa dengan ‘kembar’ku baru-baru ini membuatkan diri ini mampu berdiri kembali walaupun tidak setegak dulu. Walau dipisahkan dengan dua lautan, tapi sms tetap menjadi penghubung jiwa pengikat hati dan pengukuh rabithat hati. Kuatkan aku Ya Allah…Aku akan terus mencari…..

Tuesday, March 23, 2010

Menjadi Kejam

Cikgu A : "nak jadi cikgu ni kita perlu banyak bersabar".
Aku : Betul tu.
Cikgu B : Bukan saja bersabar kita juga perlu menjadi kejam. (sampuk seorang cikgu)
Aku : Senyum =)
Cikgu A : Betul tu ros, kadang2 kita perlu kejam lo. budak-budak sangat melampau. I tengok u belum cukup kejam lagi la..Budak2 Cina ni jahat berbanding budak melayu, mungkin kerana mereka tiada pegangan agama.
Aku : Dengan senyum aku membalas 'macam-macam i sudah buat, tetapi mereka macam tu juga, i tak tahu nak buat apa dah.
Cikgu A : U marah saja mereka ros. walaupun mereka tak faham apa yang you cakap, sekurang-kurangnya mereka tahu you sedang marah mereka.
macam biasa aku hanya senyum,,seketika kemudian loceng berbunyi dan perbualan terhenti di situ sahaja.

Pada saat ini aku masih ketandusan idea untuk meng'handle' kelas 2I dan 2L(kelas hujung). Ingin menjadi kejam. Namun, naluri ini belum sanggup. Hanya menegur dan kadang-kadang biarkan sahaja. Keterlampauan mereka semakin menjadi-jadi. Sudah berkali ditegur dan dirotan cikgu disiplin tetapi perangai tetap tidak mahu berubah. Apa nak jadi??? Aku sendiri kebuntuan. Ingin ku nasihati mereka, namun mereka kurang faham apa yang aku bicarakan. Agaknya tatkala aku masuk ke kelas itulah waktu paling bahagia buat mereka kerana waktu cikgu Cina masuk, diam seribu bahasa. Salah sahaja pasti dimaki dengan dahsyat menggunakan bahasa Hokkien. Sudah puas;Tolak kerusi, baling kapur, ketuk meja, ketuk papan hitam, menjerit2, demerit tetapi seolah-olah tiada pengajaran buat mereka. Kenapa yer? mungkin kerana aku tak mampu menjadi kejam. Aku sayangkan mereka. Aku ingin mereka berjaya. Walaupun aku tak mampu berbicara tentang Islam dengan mereka, walaupun aku dianggap asing pada mereka, walaupun aku sering menjadi ejekan mereka, walaupun aku tidak pernah mereka hormati, Engkau jadikanlah mereka pelajar yang mendengar kata, rajin buat kerja, dan bijaksana hendaknya..Kalaulah mereka tahu apa yang aku rasa...Kuatkan aku Ya Allah untuk mendidik anak bangsa. Kerna kutahu dalam melalui ranjau kehidupan banyaknya dugaan datang menguji..Dalam mengejar Cinta Hakiki banyaknya ujian datang menguji.. Ampunkan aku Ya Allah..

Sunday, February 21, 2010

Kesepian

Sudah 3 minggu aku biarkan 'Sepantas Kilat' menyepi. Idea ada, tetapi hanya berada di kelongsong fikiran. Tidak mampu untuk diluahkan melalui penulisan. Entah kenapa. Melihat blog sahabat sahabiah yang lain melaju seperti angin, aku hanya mampu mengutip ilmu daripada mereka walaupun secara tidak langsung. Semoga pengembaraan kehidupan ini, diselimuti Keredhaan dan Keberkatan daripada Rabbi.

Friday, January 29, 2010

Kepuasan

Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Pastinya ia berbeza setiap individu.
"Kepuasan itu terjadi apabila kehendak individu sudah terpenuhi dan terkait dengan darjat kesukaan dan ketidaksukaan dikaitkan dengan Pegawai; merupakan sikap umum yang dimiliki oleh Pegawai yang erat kaitannya dengan imbalan-imbalan yang mereka yakini akan mereka terima setelah melakukan sebuah pengorbanan"- Stephen Robin.

Apabila dilihat dari pendapat Robin tersebut terkandung dua dimensi, pertama, kepuasan yang dirasakan individu yang titik beratnya individu anggota masyarakat, dimensi lain adalah kepuasan yang merupakan sikap umum yang dimiliki oleh pegawai "makan nasi goreng"  

Jadi yang mana satu kita. Adakah kepuasan kita dalam pekerjaan hanyalah sekadar gaji yang dimiliki, atau pangkat yang 'mengpopularkan' diri. Bagi seorang pekerja yang menuntut keredhaan Allah, sudah pasti setiap langkahnya dijaga, tuturnya dipelihara, supaya tidak menimbulkan cela.

Sebagai pendidik sudah pasti, kepuasan dalam pekerjaan adalah, selepas mengajar. Lagi ramai yang faham apa yang diajarkan maka lagi tinggilah tahap kepuasan. Sungguh, kepuasan ini tak boleh digambarkan. Hanya yang mengalaminya sahaja akan faham kepuasan sebagai pendidik. Mungkin bagi sesetengah orang, kepuasan sebagai guru, cukuplah sekadar mengajar dan memenuhi buku rekod harian. bagi yang lain pula bukan begitu. Selagi pelajar tak faham, selagi itulah kepuasan tidak timbul. Jika waktu praktikal dulu, penulis merasai kepuasan itu. Kini, belum lagi merasainya. Mungkin kerana mengajar pelajar yang kurang memahami Bahasa Malaysia juga Bahasa Inggeris. Kadang-kadang terpinga-pinga apabila pelajar bertutur dalam Bahasa Mandarin mahupun Hokkien. Susah juga nak berkomunikasi. Inilah salah satu penyebab kepuasan itu belum ditemui. Harapnya akan ditemui suatu hari nanti. walaupun lambat, biarlah, asalkan dapat..

Friday, January 22, 2010

Pantas masa berlalu


Hari ini gelaplah usiaku 24 tahun  mengikut Tahun Masihi. Sungguh, pantas masa berlalu meninggalkan kita semua. Tanpa disedari usia makin bertambah. Semoga bertambahnya usia ini, sejajar dengan pertambahan ibadatku. Terima Kasih Allah di atas segala nikmat yang aku kecapi sepanjang aku di dunia ini. Allahu Akbar, ..Tak terhitung nikmatNya. Cuma kadang kala dalam mengecapi nikmat yang diberikan, diri ini sedikit alpa. Apabila sedikit 'teguran' yang diterima barulah tersedar daripada mimpi yang sia-sia.

Dilupa atau Melupakan.
Di saat ini, baru satu message yang aku terima daripada sahabatku. Terfikir juga, mungkin diri ini telah dilupakan.? Atau dek kerana kesibukan rutin harian, masing-masing tersalah ingat, atau terlupa untuk mengingat tarikh ini. Pun begitu, aku tidak pernah melupakan mereka. Bukan aku ingin dihargai, cuma inilah merupakan ingatan ukhwah kita sebenarnya. Mungkin ada yang tersedar tatkala membaca coretan ini, tetapi hisablah diri. Di mana tahap ukhwah kita.? Mungkin diri ini yang kurang memberi membuatkan kurang untuk menerima. Bagiku biarlah kurang menerima asalkan aku tak pernah lupa untuk memberi.

Keterpaksaan yang Menyakitkan

Entah kenapa kali ini aku ingin mencoret panjang. Mungkin pengalaman yang ada, telah membuatkan aku semakin matang. Matang untuk berfikir, matang untuk bertindak dan matang untuk mengadili sesuatu. Kadangkala kita terpaksa berkongsi sesuatu yang tak boleh dikongsi, Tetapi perkongsian itu, telah disalah tafsir. Biasalah manusia ini lebih suka menghukum tanpa mengadili. Adilkah begitu? Adakah kita layak untuk menghukum sedangkan Yang Maha Kuasa itu ada. Semoga Keterpaksaan yang menyakitkan itu, mampu merungkai ruang-ruang dosa pada diri ini. Semoga perkongsian itu, mampu menguraikan titik-titik hitam pada diri ini. Aku yakin, apa yang dicoretkan ini, hanya akan difahami oleh orang-orang tertentu sahaja.

Sudah masanya?
Kini aku sudah berusia 24 tahun. Pelbagai persoalan yang sering ditanya terutama mengenai jodoh. 'kak, bila lagi'?. 'lepas ni akak pula la yer'?. Segala persoalan hanya mampu dibalas dengan senyuman. Soal jodoh? Entah kenapa apabila bersama sahabat, rasa juga tempiasnya. Tatkala berada di sekolah, tak terfikir pula. Mungkin, keadaan keluarga yang tak pernah memaksa atau tidak pernah mendapat desakan, membuatkan aku jarang untuk memikirkannya. Walaupun ada juga suara-suara sumbang daripada jiran, mahupun saudara jauh, namun aku pedulikan saja. Mulut manusia, bukannya mampu untuk ditutup.

Namun, tatkala bersendirian, seringkali aku berfikir: jika yang dipilih tersalah pilihan, yang dipilih tidak sealiran, yang dipilih menghalang perjuangan, yang dipilih banyak permintaan. Sungguh aku masih lagi keliru. Hanya mampu berserah pada yang Maha Kuasa. Sesungguhnya dialah penentu segalanya. Apa yang penting, aku yakin bukanlah dalam masa terdekat ini . Banyak lagi tanggungjawab yang perlu aku lunaskan. Sungguh, begitu berat bebanan ini. Kadangkala aku merasa letih, namun aku tidak boleh berhenti walau seketika. Walaupun aku tidak mampu berlari cukuplah hanya sekadar berjalan, mahupun merangkak. Melihat 2 orang sahabat syahid, hati ini teruja. Aku ingin seperti mereka. Namun, aku tahu, banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk itu. Allah..Allah.

Semoga coretan ini tidak disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Ya Allah Redhailah hidupku, hidup keluargaku, hidup sahabat2ku, hidup pejuang-pejuang agamaMu dan hidup kaum muslimin dan muslimat sekalian alam.
Allahhu Rabbi. Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah...

23 Januari 2010
9.40 am
Bayan Lepas.

Saturday, January 16, 2010

Sekadar Coretan


Alhamdulillah ketika ini, nikmat iman dan Islam masih lagi subur disanubari. Semoga nikmat ini kekal berpanjangan walaupun ia sering naik dan turun. Minggu lepas minggu paling sibuk. Betullah kata orang 'guru bukan tanggungjawab, tetapi merupakan kehidupan'. Pahit manis hanya dapat dirasai oleh orang yang menikmati kehidupan ini. Sebagai guru Tingkatan banyak urusan yang perlu di'settlekan'. Setakat ini, jadual sudah 3 kali bertukar. pun begitu, seinfiniti kesyukuran kpd yang Maha Kuasa kerana kini aku telah mendapat opsyen pilihan. Mengajar Matematik & SainsTingkatan 1 & Peralihan, juga Pendidikan Moral Tingkatan 2. Tatkala masuk Tingkatan 1, tenang rasa hati, kerana masih baru, nak nakal-nakal pun belum berani. Apabila masuk Tingkatan 2, erm.suara-suara nakal memanaskan hati. Namun, cuba belajar bersabar. Masuk Kelas last lagilah pening kepala, 2L: tak dak pun pelajar yang minat belajar. Hanya mampu bertahan. Telahan lagi, aku dilantik penasihat Guru Rumah Kuning dan guru LPKS (Lembaga Pengawas Kebersihan Sekolah),.erm tugas2 sampingan selain mengajar.. arghh..no idea. malam ni nak ke KL. Semoga perjalananku diberkati dan diredhai. Salam Perjuangan,

Wednesday, January 6, 2010

Aku Kembali


Alhamdulillah, menulis kembali, setelah 2 minggu menyepi. Kesibukan yang melanda diri tatkala bergelar muallimah sangat menggusarkan hati..Sumber internet yang susah juga salah satu asbabnya. Alhamdulillah, kini telah beli broadband jadi mudahlah untuk memastikan sepantas kilat 'sepantas' dahulu.

Persekolahan
Tanggal 29 Disember 2009 yang lepas, mesyuarat semua guru telah diadakan. Apabila menerima fail tugasan, sedikit terkejut tatkala membelek jadual tugasan. SEJARAH? PENDIDIKAN SENI?? Allahu Akbar!! Terkesima seketika. Mana tak nya, terpaksa mengajar mata pelajaran yang tak suka. Tambahan lagi kena jadi Guru Tingkatan 1F. Hati ini hanya mampu berserah supaya terus diberikan kekuatan untuk melangkah. Bimbang tersungkur tatkala bersendirian. Cuba berlapang dada. Beli buku rujukan, untuk memahami subjek SEJARAH dan PS.

Ingat lagi apabila bagi tahu kakakku bahawa aku kena mengajar SENI, gelak besar dia. Barangkali sudah faham bahawa adiknya ini tak pandai melukis. Jika orang yang tak reti bermain bola sepak digelar kaki bangku barangkali aku digelar tangan kayu..Telahan lagi, selama ini, aku menggunakan otak kiri, kini terpaksa mempraktiskan otak kanan. Perkara yang sukar untuk dicuba. 3 hari sudah, persekolahan bermula, cabaran makin KETARA. Dulu aku selalu fikir, di kampus sudah mencabar, kini lain pula cerita. Segalanya bermula daripada muallimah muda. Aku ingin berlari, tetapi tak mampu, cuba untuk berjalan, tidak mampu juga. Hanya mampu untuk merangkak barangkali.. Biarlah...jika dengan merangkak aku mampu sampai ke destinasi, tidak salah aku kira. Namun sampai Bila??

Mendidik anak-anak Berbangsa Cina yang kurang fasih bahasa Melayu juga Inggeris memang mencabar. Kadang kala aku rasakan seolah-olah berada di negara asing. Ingat lagi semalam apabila masuk ke kelas 2K(kelas ke-2 last), aku di caci dan dimaki oleh seorang pelajar dalam Bahasa Cina. Agak panas. Tetapi bertahan. Aku cuba bertegas, namun perangainya tetap sama. Seolah-olah bercakap dengan seorang 'gangster (maaf bukan untuk melabelkan, tetapi inilah hakikatnya). Keluar kelas, rujuk guru yang mengajar kelas ini, sememangnya dia budak 'jahat' sudah tak dapat buat apa2. Terkedu.. Ya Allah peliharalah hambaMu ini daripada sebarang kecelakaan, Engkau lembutkanlah hati pelajar aku itu Ya Rabbi.


Bukan mudah untuk menjadi pendidik. Memandangkan tak ramai guru yang ingin mengajar di sebelah petang, 3 orang cikgu baru terpaksa mengalah. Dapat pula opsyen bukan pilihan. Inilah cabaran yang terpaksa ditanggung. Mengajar PS Tingkatan 2 dan Sejarah Tingkatan 1, pasti memberi pengalaman yang serba baharu. Semoga aku mampu memahamkan mereka, walaupun keperitan sudah terasa. Allah..Allah.. Semoga Ilmu Matematik tidak aku lupa, kerana inilah subjek yang diminati tatkala mengenal alam persekolahan.


'Ke arah melahirkan Generasi Murabbi'  

Friday, December 11, 2009

Oh Diri


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih lagi diberi ruang dan peluang untuk menulis kembali.. beberapa minggu Sepantas Kilat menyepi bagaikan tiada khabar berita. Faktor kesihatan yang kurang memuaskan, dan juga sumber internet yang agak susah didapati, membuatkan sepantas kilat tidaklah ‘sepantas’ dahulu. Hampir 3 Minggu cuti sekolah berlalu, aku menjadi tak menentu dengan kelapangan yang ada. Hati yang dulu sering dibajai, kini menjadi kering gara2 dibiarkan. Lembah kelalaian semakin membesar dihati, Aku semakin jauh…jauh dan jauh.. Allahurabbi. Tatkala mendengar sahabat2 tidak cukup tidur kerana sibuk dalam arena perjuangan, aku semakin seronok dibuai mimpi. Tatkala sahabat tidak cukup masa, masa2 ku dibuang begitu sahaja. Puas aku memujuk diri, belum tiba masanya, sabarlah Akhirnya aku buat keputusan untuk beruzlah. MasyaAllah, setelah dua hari bersama penduduk pondok Kg Pdang Nyior aku menjumpai kembali ‘pencerahan’ yang makin lama hilang dan luput. Pembersihan demi perbersihan dilakukan, kerana aku tak mahu tarbiyah yang aku dapat dulu, hilang ditelan arus masa. Walaupun ia kian malap, namun ia mampu bersinar kembali.,.. Apapun aku perlu sabar dan kuat. Sesungguhnya dunia ini secara tabiatnya adalah tempat musibah, dan cabaran, tempat bersusah payah dan berbagai kesukaran. Adapun orang yang berkeluh kesah kerana cabaran daripada Allah dan tidak mahu bersabar atasnya maka mereka itulah orang2 yang merugi. Di dalam Hadith Qudsi Allah Menyatakan :
“Sesiapa yang tidak redha dengan qada’ dan qadarku dan tidak bersabar atas cabaranku maka keluarlah daripada langitku dan carilah tuhan selainku”

Nescaya bagi, orang yang beriman, tidak dapat tidak, kita kena redha dengan ketentuanNya. Ibarat sebatang pensel.. Untuk menjadikan mata pensel tajam ia terpaksa melalui kesakitan apabila diasah dengan pisau. Justeru tulisan yang dihasilkan kemas dan cantik. Begitulah manusia tatkala diuji.semoga kita tabah dalam setiap cabaran. Semoga redha Allah mengiringi semua.. Wallahu’alam. Sampai bertemu kembali.

Thursday, October 22, 2009

Last day as data processor


Hari ni merupakan hari terakhir penulis bekerja sebagai data proseccor di Tharwah Maju Enterprise, Pokok Sena, kedah. Setelah hampir 4 bulan mencedok pengalaman yang sangat berguna, penulis akan bertukar bidang selepas ini. Jika sekarang masih bekerja di hadapan laptop dan di dalam bilik berhawa dingin, selepas ini, barangkali tiada lagi semua itu. Sudah pasti selepas ni, mengelek buku rancangan pengajaran harian, buku-buku nota pelajar, ke sana-sini bermandi peluh dan sebagainya.

Sebagai data processor penulis terpaksa menghafal panjang beratus-ratus buah lori. Inilah cabarannya. tetapi seronok, kerana membuatkan otak ini tidak tersadai begitu sahaja. Berfikir adalah kesukaan, tapi untuk membuat keputusan itulah penderitaan. Apapun pengalaman yang penulis dapat, tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Secara basisnya, penulis sudah 'expert' dalam pengunaan Microsoft Excell (sebelum ini jarang guna), tahu serba sedikit selok belok bekerja di pejabat, dan bagimana menguruskan data bagi sebuah syarikat yang terlibat dengan pembinaan jalan. Semoga pengalaman yang dikutip ini, akan berguna di suatu hari nanti.. InsyaAllah

"Dunia baru akan bermula selepas ni. Sebagai seorang mualiimah"
"Buku, pen, tulisan dan coretannya pasti berbeza"


kusyuknya..


Di sini pengalaman ditimba


Docket yang perlu di key in


pejabat

"Ya Allah, Berkatilah rezeki aku,
redhailah pekerjaanku
untuk dulu kini dan akan datang"

Wednesday, October 21, 2009

Kembali Ke sana 2

Alhamdulillah, hari ni apabila ada sahabat 'message' bagitau dah boleh tahu sekolah yang akan mengajar nanti, tanpa membuang masa, penulis terus 'call' JPN Pulau Pinang. Setelah berpuluh kali mencuba akhirnya berjaya juga bercakap dengan operator. Selepas bagi nama dan no i/c penulis disahkan akan mengajar di SMJK(C) Chung Hwa Confusion, Persiaran Tembaga, Geogtown. Penang.. Allah. Satu cabaran yang agak besar penulis kira. Nampaknya mad'u kali ni bukan sahaja berbeza bangsa dan agama, bahkan di kawasan bandar.

Sudah suratan nampaknya..Pengalaman yang penulis dapat dalam praktikal mungkin boleh digunakan. Bezanya dahulu pentadbiran semuanya Berbangsa Melayu, namun kali ini, Berbangsa Cina. setelah melayari internet, dapatlah serba sedikit latar belakang sekolah ini, walaupun hanya secara basisnya sahaja.

Pengalaman mengajar selama 4 Bulan di SMK Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor memberikan 1001 pengertian yang tak dapat dilupakan. Di tugaskan mengajar Tingkatan 4 dalam subjek Matematik. 60 orang pelajar daripada 2 kelas yang berbeza tahap hanya 17 orang  sahaja yang beragama Islam. Selebihnya adalah pelajar Cina dan India. Rupanya sedikit susah untuk mengajar pelajar yang berbangsa lain, terutamanya terpaksa mengajar mata pelajaran yang mereka lebih 'expert' daripada kita. Sebagai guru kena kreatif dan inovatif. Pengajaran tidak boleh statik. Walaupun terpaksa mengajar 'fully in BI (kadang2 hentam je)' bagi kelas 4ST dan 80% dalam Kelas 4SI(1), Alhamdulillah berkat dorongan sahabat2 dan kesabaran, akhirnya penulis berjaya menarik minat mereka terhadap P&P apabila memperbanyakan 'games' dalam pengajaran. Cumanya memakan masa. Pengalaman itu, mungkin boleh diguna untuk P&P yang akan datang.

Majlis perpisahan yang diadakan oleh Kelas 4 Sains Tulen dan 4 Sastera Ikhtisas 1, masih lagi segar dalam ingatan. Nyian lagu 'twinkle-twinklw litle star' terngiang2 di telinga. Terima Kasih Pelajar 4ST dan 4SI(1), dengan pertolongan kalian cikgu dapat keputusan yang sangat cemerlang untuk praktikal.
Semoga kalian berjaya di dalam SPM 2010.

 Semoga Allah mempermudahkan urusanku selepas ini..
Ya Allah kuatkanlah kakiku untuk melangkah dan terus melangkah.

Di sini disertakan beberapa gambar kenangan semasa Praktikal tempoh hari
( Jan-April)


Kenangan : 4SI(1) - kelas ke-3


  Pelajar perempuan 4ST - kelas pertama (bdk2 bijak)


Pelajar Lelaki 4ST - pemalu belaka.


 Kek Perpisahan

Tuesday, October 20, 2009

Kembali ke sana...


Seusai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), penulis dah berhijrah (bukan tetap) ke Penang. Tinggal bersama kakak yang ke-4 (k.za). Sambil itu, bekerja sementara bersama kakak ke-5 (kak ah) yang tinggal tak jauh daripada rumah kak za.. Kemudian sambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.(KMPP). Semasa di UPSI pun lebih kerap balik Penang berbanding Kedah, kerana pengangkutan yang lebih mudah. Kalau balik kedah terpaksa naik 4 buah bas untuk sampai rumah berbanding 2 buah bas sahaja nak ke Penang.

Dua Minggu lepas, apabila keputusan penempatan untuk bakal guru (GSST) sudah diketahui di seluruh Malaysia melalui Laman web KPM, penulis disahkan ditempatkan di Negeri Pulau Pinang. Penempatan di penang ini, sudah tentu menggembirakan keluarga kerana tak jauh dengan rumah. Tatkala majoriti sahabat akan diterbangkan ke Sabah dan ada juga yang akan berjauhan dengan keluarga, Penulis dikira beruntung. Walaupun hakikatnya penulis ingin merantau jauh. Kalau ikutkan hati ingin ke Selangor atau Sabah. Mungkin ingin mengembara mencari pengalaman sebelum berbakti di tanah kelahiran sendiri. Pun begitu, kuasa Allah mengatasi segalanya. Kita sebagai hambaNya, kena akur dan redha dengan apa yang telah ditetapkan. Kerana ia adalah terbaik untuk HambaNya. Penulis yakin, penempatan di Penang ini, mempunyai banyak hikmahnya. Sudah pasti salah satunya mudah untuk menjenguk mak dan ayah yang telah berusia di kampong.


Sebagai bakal pendidik yang masih belum banyak pengalaman, sudah tentu agak bimbang, terutamanya terpaksa mengajar di penang. Kakak pernah cerita bahawasanya pelajar di sana tidak banyak bezanya dengan Kuala Lumpur. Penang ibarat ‘Kuala Lumpur Utara’. Walaupun belum diketahui sekolah apa yang bakal memberikan pengalaman yang pahit dan manis, penulis sentiasa mendoakan Allah bagi yang terbaik untuk penulis. Apapun semoga redha mengiringi diri.

Buat sahabat-sahabat yang akan dipostingkan minggu depan ; 26 October 2009, bermulalah lembaran hidup kita yang baru. Pasti penuh dengan warna-warni ibarat warna pelangi. Semoga semua mampu menjadi muallim/muallimah yang dedikasi dan proaktif. Semoga bertemu lagi..jika tidak di dunia, InsyaAllah di ‘sana’.

'Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta'
(aku adalah anak panah daripada panahan Islam,

 kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang)

Monday, October 12, 2009

Aku dan Mak


Mak selalu cerita,
masa beranakkan akulah dia paling derita,

lepas bersalin kena masuk hospital pula,
akibat 9 tahun jarak aku dan kakak kelima,
aku disusu oleh mak su, birasnya,
3 hari 3 malam lamanya.

kata mak, aku bertuah hidup zaman sekarang,
mak hidup zaman Jepun punya pemerintahan,
ubi kayulah makanan seharian,
hidup pula macam pelarian.

Masa kecik, mak selalu suapkan aku makanan,
Sayangnya dia padaku bukan kepalang,
Sehingga aku digelar anak kesayangan,
Kasi 'jelous' adik, kakak dan abang..

Usai 4 tahun aku nak bersekolah,
Tadika pokok asam belajar sorang-sorang,
6 tahun sek rendah dan 5 tahun sek menengah,
keputusanku cemerlang buat mak makin sayang.

Lepas SPM aku berhijrah,
pertama kali jauh dari famili,
semesterpertama diKMPP aku punya resah,
pandai berdikari bila dah di UPSI,

Anak tunggal pemegang 'degree',
dapat ijazah bulan 8 itu hari,
mak kata kahwin la 2 tahun lagi,
pandai-pandailah cari suami sendiri.

Mak suka bercerita,
Aku pula pendiam seribu bahasa,
 Diamnya aku diam beretika
menjadi pendengar yang setia.

Mak suka kongsi rahsia hati,
aku pula suka menyendiri,
bukan apa, cuma tak nak  membebani,
terutama orang yang aku sayangi.

Mak tak reti bawa motosikal,
kenderaannya hanyalah basikal,
itupun dah tersadai tak dipedulikan,
akulah 'driver' bila nak ke rumah rakan-rakan.

Dulu, mak kerja sebab nak sara aku mengaji,
Kini mak berhenti sebab aku tak bagi kerja lagi,
Wajah mak gelap sebab bahangnya panas,
wajahku cerah sebab dia jaga dengan pantas.

Aku balik dari kerja rasa keletihan,
baju dah siap dalam lipatan
makanan dah siap dihidangkan..
tak 'dan' aku nak hulurkan tangan

Lepas ni aku dan mak terpisah lagi,
demi mencari rezeki Ilahi,
mak kata, pasti dia rindukan 'kak' nanti,
Jauh di mata dekat di hati.

I love u mak!!!

"Ya Allah, kurniakan kesihatan dan kuatkan dirinya.
Berikan Kesempatan untukku membalas jasanya,.
Jadikan aku anak yang solehah dan mendengar kata"
Nota : Sayangilah Ibu anda, walau siapa pun mereka, berbanggalah dengan mereka..!!

Wednesday, October 7, 2009

Meniti debaran





'Assalamualaikum sahabat sayang, apa habaq, su dan k.mimi dapat Sabah' - Nasuha
'Salam sahabat, ana dapat Sabah' - Noraida
'Ana dapat Sabah' - Syuhadah
'Sahabat2ku sayang ana akan diterbangkan ke Sabah' - Ejah

Itulah messange dah panggilan telefon yang aku terima semalam dan hari ni daripada sahabat seperjuangan. Semuanya Bakal2 Guru Matematik..Allahuakbar..
"Alhamdulillah rezeki Allah kat sana. InsyaAllah x sabar nak dgr enti dapat sana juga" - Ejah...
erm,,dengar brita ramai yang dapat sana,..aku pun harap yg dapat posting Sabah juga..hehe
..apapun,..aku terus menanti dan terus menanti..
Sahabat2ku, Teruskan perjuangan kalian.Biarlah di mana pun, yakinlah Hikmah Allah itu luas..
Yang penting Ukhwah yang kita semai takkan berakhir di sini.
Buat sahabat yang masih menanti jawapan,sabar2 lah yer,
Allah akan bagi apa yang terbaik buat HambaNya.
"Ya Allah lapangkanlah dada kami untuk menerima Qada'Mu.."


Sahabat sekalian, sematkan kata2 ini dihati
"nahnu romyun min rima yatil Islam, far mi, ainamasyikta" 
(kami adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja kami dicampakkan,
disitulah kami akan berjuang')





Insan Dalam Penantian,
7 October 2009
3.50 pm

Saturday, October 3, 2009

Thank You!!!!






To those of you who laughed at me, thank you.
Without you I wouldn't have cried..

To those of you who just couldn't love me, thank you.
Without you I wouldn't have known real love.

To those of you who hurt my feelings, thank you.
Without you I wouldn't have felt them.

To those of you who left me lonely, thank you.
Without you I wouldn't have discovered myself.

But it is to those of you who thought I couldn't do it;
It is you I thank the most,
Because without you I wouldn't have tried.

Being a good person..we have to sacrifice many things,
Thankz God for giving me a chance....

Tuesday, September 29, 2009

sekadar monolog


Beginikan lebih baik...daripada diganggu oleh manusia durjana.. herm...




Monday, September 14, 2009

Pencari Jalan-Mu


Judul : Pencari Jalan-Mu
Munsyid : Afgan

T'lah banyak yang ku lewati
Jalan hitam di dunia
Tak terhitung selama nodai
Masihkah ada kesempatan
Bagiku mendekatkan hati dan cinta kasih-Mu
Ku ingin bersihkan diriku
Dari sgala dosa yang telah ku perbuat hingga kini
Ku ingin bersihkan jiwaku
Terangilah dengan sgala petunjuk jalan-Mu

Tiada yang ada selain-Mu
Yang selalu menjagaku meski kadang tinggalkan-Mu
Aku hanyalah manusia yang mencari jalan-Mu
Yang pasti kembali pada-Mu

Sunday, September 6, 2009

Hati ini hanya UntukMu

Alhamdulillah, hari ni dah masuk 17 Ramadhan. Dua peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam pernah dilakarkan pada tarikh ini: iaitu Perang badar Al-Kubra dan Nuzul Al-Qur'an..sayu hati rasanya. hanya 13 hari lagi berbakinya Ramadhan. Semoga aku mampu untuk terus mengisi hari2 yang berbaki ini dengan penuh kesempurnaan kerana sesungguhnya aku mahu mendapat 'trofi' di pengakhiran nanti. Saban hari, ditempat kerja, aku didendangkan dengan lagu2 yang mampu meruntun jiwa kerana terlalu asyik dek liriknya yang terlalu agungkan cinta manusia. Namun hati ini sentiasa berbisik dan mengingatkan; jaga dirimu, jaga tarbiyahmu, penuhi 'aku' dengan zikir. Alhamdulillah, aku masih lagi mampu bertahan, kerana aku tak mahu 'tewas' lantaran 'larian'ku hampir sampai ke garisan penamat; sekarang adalah masa yang penting untuk aku melakukan pecutan kerna masa inilah dapat menentukan layakkah aku dianugerahkan sebuah 'trofi' atau hanya kepenatan, apabila tamatnya larianku nanti. Aku sudah berada di gelanggang, mesti teruskan walaupun 'penat' dan 'letih' semakin membaluti diri. Mungkin aku tak mampu lagi untuk sampai ke gelanggang ini tahun hadapan. Siapa tahu, barangkali ini 'gelanggang' yang terakhir. Lantas, aku tak boleh leka dan alpa. Ya Allah berikanlah hambaMu ini kekuatan...
Mereka..semakin kusyuk dengan ibadat mereka..
Mereka semakin asyik di buai malam bersamaMu
Mereka semakin ikhlas dalam mendamba CintaMu
Semoga aku mampu menjadi seperti mereka, Ya Rahman...

Monday, August 31, 2009

Apabila Mood Tiada


Manusia, dilahirkan dengan penuh kesempurnaan. Kadang2 rasa kekurangan itu adalah perkara biasa yang sering dialami oleh kebanyakan manusia. Sungguh penulis sendiri mempunyai banyak kekurangan hinggakan kadang2 rasa ‘down’ menyelimuti diri. Kadang2 pula rasa kuat untuk meneruskan perjalanan yang tak tahu bila penghujungnya ini. Inilah hakikat manusia. Kita tak punya kuasa untuk mengaturkan segalanya, hanya mampu berusaha,. lantaran itu, sebulat tekad dan segenggam tawakal diserah pada Yang Esa lagi Maha Kuasa. Rasa nak menulis sesuatu tetapi prisma pemikiran ini, seolah2 dihalang dan disekat oleh satu tembok yang sangat tinggi dan keras. Telahan lagi, mood yang kurang baik hari ni, membuatkan penulis kekontangan idea. Sesekali bila rasa nak bercakap, cakap tak henti2, tapi kalu rasa tak nak bercakap, 10 patah yang ditanya, 1 patah yang dijawab. Dan pula, kalu rasa nak menulis idea datang mencurah2, kadang2 pula tersekat bagai 'traffic jam' di hadapan. Justeru kita harus faham dan sedar bahawa manusia mempunyai pelbagai 'peel'.
Apapun kini dah 11 Ramadhan. Kita dah masuk ke fasa ke-2 Ramadhan. Harapnya amal dapat dipertingkatkan supaya madrasah Ramadhan kali ini tidak sia-sia. Semoga kita semua dapat laluinya dengan penuh kesabaran. Selamat meningkatkan beramal.

.: Pegangan Da'ie :.

Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta

(aku adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang')



'aslif nafsak wad'u ghairak (Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)