‘Eh, kenapa buka lampu ni’?(1) tanya seorang sahabat beberapa bulan lepas. Aku menyoal kembali “kenapa”?(2) soalan yang dijawab dengan soalan. “Biarlah gelap baru lebih kusyuk” pintanya. “Ok”. Aku tutup kembali lampu itu, lalu kami bersama2 dengan Sang Kekasih disepertiga malam. Tenang, damai, tiada lagi hangar –bingar kenderaan lalu lalang mahupun suara2 manusia yang membingit telinga. Tiba waktu Subuh. Sahabatku buka lampu. Aku bertanya soalan yang sama kepadanya. Dialog (1&2) yang sama tetapi wataknya bertukar. Lalu aku bertanya “takkan kita nak kusyuk ketika qiamulail sahaja, bagaimana pula dengan solat subuh, solat yang wajib, tak mahu kusyuk?”. Dia diam. Ingat, kita jangan menjadi golongan yang terpedaya iaitu orang-orang yang hanya mementingkan fadilah dan sunnah, tetapi fardhu mereka abaikan. Mereka bahkan jauh sekali tenggelam dalam keadaan pertentangan berlarut-larut. Mereka ini menyangka perbuatan seperti itu dianggap baik oleh Allah. Padahal yang demikian itu adalah perbuatan Ghurur semata.
Mereka yang terpedayaSeringkali manusia terlalu menitik beratkan perkara-perkara sunat berbanding perkara-perkara wajib. Sedangkan yang wajib itu, jika tak buat berdosa hukumnya. Kita solat terawikh, tetapi solat fardu kita tak buat. Kita berusaha untuk kusyuk di sepertiga malam, namun kita mengabaikan kekusyukan solat fardu. kita menghabiskan masa malam bersama Dia, tetapi di kala subuh, kita tersengguk-sengguk membaca surah. Kita sibuk menjaga supaya puasa kita tak batal tapi kita tak menjaga pahala puasa kita. Kita lebih utamakan solat sunat hari Raya berbanding Solat Jumaat (bagi lelaki).
Kita hanya memperbanyak ibadah lahir dengan mengabaikan pemeliharaan hati/batin. Padahal hati/batin adalah pangkal dari segala ibadah. Dan seseorang tidak akan selamat kecuali menghadap Allah dengan hati/batin yang tulus.
Orang Ghurur hanya mempercantik lahiriahnya dan mengabaikan batinnya. Rasulullah SAW bersabda : “Bahwasanya Allah tidak memandang rupa dan hartamu, melainkan hati dan amalanmu.”
Contoh lain, ada orang yang selalu ragu-ragu dalam berwudhu. Mereka sangat berhati-hati dalam menggunakan air, menginginkan kesempurnaan dalam berwudhu yang telah ditetapkan sucinya oleh syara’. Mereka menentukan ihtimal-ihtimal dalam bentuk najis. Yang jauh dikatakan dekat, hingga akhirnya ia bersusah payah mencari air, dan kadang-kadang lalai mengerjakan yang fardhu.
Kesimpulan
Pembaca sekalian, janganlah kita digolongkan orang yang terpedaya. Sibuk mengejar benda kecil tetapi benda besar kita abaikan. Jangan kita tertipu dengan banyaknya ibadah, sedangkan belum tentu Allah terima ibadah itu.Tanda Allah memberi kebaikan kepada hambanya ada tiga. Pertama, ia tidak pernah berniat untuk melakukan kebaikan tetapi Allah mendorongnya melakukan kebaikan. Kedua, Ia berniat melakukan kejahatan tetapi Allah menghalangnya. Ketiga, Allah membuka pintu hatinya untuk sentiasa mengharap dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa.
Ya Allah jauhilah aku daripada sikap Ghurur.Ikhlaskan aku dalam melakukan ibadat kepadaMu.
No comments:
Post a Comment