Thursday, November 19, 2009

Wasiat Imam Ghazali

  • Dunia ini laksana api yang akan membakar sesiapa sahaja yang cuba memegangnya. Kerana itu gunakanlah api hanya pada malam hari sahaja. Yang bererti jadikanlah dunia sekadar tempat untuk mencari tapak syurga.
  •  Dunia adalah jambatan kecil untuk menuju kehidupan besar yang abadi. Kerana itu jangan rosakkan jambatan itu dengan membawa keperluaan dunia yang berlebihan sehingga jambatan itu rosak.
  • Sibuklah berfikir tentang dirimu sendiri sehingga tiada kesempatan untuk berfikir tentang orang lain.
  • Sebelum tidur ingatlah bahawa esok belum tentu boleh bangun lagi.
  • Ingatlah bahawa esok lusa kamu akan mati dan akan menjadi mangsa cacing tanah.
  • Berjuanglah di jalan Allah supaya malaikat memberi penghormatan atas kematianmu nanti.
  • Berjemaahlah bersama kawan muslimin di dunia agar kamu beroleh teman semasa perbicaraan di mahkamah. 
  •  Pandang ringanlah dunia ini agar ia bersifat pemurah.
  • Tataplah anak-anakmu baik-baik kerana mereka merupakan titipan Allah kepadamu untuk menguji sifat amanah dan kepimpinanmu.
  •  Selepas bangun daripada tidur, bersyukurlah kerana Allah telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan sekali lagi untuk kita sedar.

CERMIN DIRI


1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.

2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.

3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.

4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.

5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.

6. Orang yang sudah hilang sifat marah (dayus), cepat melahirkan sifat marah (lemah mujahadah). Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.

7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.

8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.

9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan ALLAH, ini adalah hakNYA pula.

10.Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Ujian dan Sahabat



Tatkala diri diuji dengan pelbagai ujian,
Aku kebimbangan dan jadi tak keruan,
Hanya mampu berserah kepada Tuhan,
Takut diri hilang pedoman.

Ketika sakit mendampingi diri,
Aku cuba menyelami hikmah yg tersembunyi,
Aku singkapi dosa & noda dalam hati,
Mungkin ini kifarat diri.

Ketika hati disakiti,
Tiada teman untuk ku kongsi,
Tiada kasih untuk temani,
Lantas ku serah pada Ilahi.

Tatkala rindu teman dahulu,
Potret ditatap pengubat rindu,
Doa dipohon penyejuk Qalbu,
Rasa mereka dekat denganku.

Sungguh, aku rindukan saat dahulu,
Saat sama-sama berfikir tanpa rasa jemu,
Ketika kita sama-sama menangis,
Segala kepenatan dan cabaran kita mampu tepis.

Kini aku mengembara sendirian,
Teman-teman jauh dari pandangan,
Aku perlu kuat supaya tidak 'kelemasan',
Inilah hakikat sebenar sebuah kehidupan.


p/s: setelah tiga hari MC dan tak ke sekolah, 'sepantas kilat' pun menyepi daripada 'memberi' di alam maya ini.




Saturday, November 14, 2009

CIRI-CIRI TAQWA


Terjemahan Hadis:

"Daripada Abi Hurairah bahawa Rasul SAW. Bersabda : Tidaklah boleh dikatakan kuat (gagah) itu, kerana kuat bergusti, bahkan kekuatatan yang sebenar itu ialah mereka yang dapat menguasai dirinya ketika marah"

Keterangan Hadis:

Salah satu daripada sifat yang dikurniakan Allah kepada hambaNya ialah kegagahan tubuh badan. Ianya sangat berguna dan dipandang tinggi, tetapi ramai orang salah faham dalam menggunakan sifat itu, kerana mereka menganggap bahawa orang yang kuat bertinju atau bergusti itulah yang paling kuat.


Dalam hadis di atas Rasul SAW. Menegaskan bahawa orang kuat sebenarnya ialah orang yang mampu mengawal atau menahan kemarahannya apabila ia marah dalam dirinya. Bukanlah orang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengalah lawan di gelanggang, kerana kekuatan manusia adalah sama sahaja cuma caranya berbeza, sebab itu kadang-kadang tentera yang bilangannya sedikit boleh mengalahkan tentera yang ramai dan kadang-kadang orang yang kecil dapat mengalahkan orang besar dengan cara yang tersendiri. Kerana sifat marah itu boleh merosakkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta maruah dan masa depan sendiri, kerana pada waktu seseorang itu marah ia tidak dapat menimbang dengan akal yang waras yang mana baik dan yang mana jahat cuma pada waktu itu ia hanya utamakan perasaan dan nafsunya tampa boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain, maka berkesudahan dengan penyesalan yang amat sangat. Tegasnya kekuatan yang sejati bukan terletak pada kekuatan jasmani, tetapi pada kekuatan rohaninya.

Oleh itu hendaklah kita lawan perasaan marah kita yang timbul dalam diri kita hingga dapat dikalahkan. Dengan itu kita akan mendapat kejayaan besar dalam perjuangan dan kerana itulah dikatakan sebenar-benar kuat dan gagah perkasa. Sesuatu pertimbangan yang adil dan sebenar itu hanya dapat dibuat ketika perasaan tenang.

Pengajaran Hadis
  • Bukanlah orang yang gagah itu mereka yang kuat bertarung di medan
  • Sebenar-benar orang yang kuat ialah mereka yang dapat menguasai diri apabila ia marah.
  • Hendaklah kita kalahkan perasaan marah, kerana ia boleh merosakkan diri

Friday, November 13, 2009

Tukang Cukur


Seorang laki-laki bernama Bador datang ke sebuah salon untuk memotong rambut dan janggutnya. Ia pun memulai sedikit perbualan yang hangat dengan tukang cukur yang melayani nya. Berbagai macam topik pun akhirnya jadi pilihan, hingga akhirnya Tuhan jadi subjek perbualan.

"Hai Tuan, saya ini tidak percaya kalau Tuhan itu ada seperti yang anda katakan tadi," ujar si tukang cukur. Mendengar ungkapan itu, Bador terkejut dan bertanya, "Mengapa anda berkata demikian?"..

"Mudah saja, cuba anda menjengok ke luar jendela itu dan sedarlah bahwa Tuhan itu memang tidak ada. Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada, mengapa banyak orang yang sakit? mengapa banyak anak yang terlantar?. Jika Tuhan itu ada, tentu tidak ada sakit dan penderitaan.Tuhan apa yang mengizinkan semua itu terjadi..." ungkapnya dengan nada yang tinggi.

Bador pun berpikir tentang apa yang baru saja dikatakan sang tukang cukur. Namun, ia sama sekali tidak memberi respon agar argumen tersebut tidak Lebih meluas lagi.

Ketika sang tukang cukur selesai melakukan pekerjaannya, Bador pun berjalan keluar dari salon. Baru beberapa langkah, ia bertembung dengan seorang laki-laki berambut panjang dan janggutnya pun lebat. Sepertinya ia sudah lama tidak pergi ke tukang cukur dan itu membuatkan nya terlihat tidak kemas.

Bador kembali masuk ke dalam salon dan kemudian berkata pada sang tukang cukur, "Tukang cukur itu tidak ada!"... Sang tukang cukur pun terkejut dengan perkataan Bador tersebut.

"Bagaimana mungkin mereka tidak ada, buktinya adalah saya. Saya ada di sini dan saya adalah seorang tukang cukur," sanggahnya sang tukang cukur.

Bador kembali berkata tegas, "Tidak, mereka tidak ada. kalau mereka ada, tidak mungkin ada orang yang berambut panjang dan berjanggut lebat seperti contohnya lelaki di luar itu."

"Ah, anda merepek saja...Tukang cukur itu selalu ada di mana-mana. Yang terjadi pada lelaki itu adalah bahwa dia tidak mau datang ke salon saya untuk dicukur," jawabnya tenang sambil tersenyum.

"Tepat!" tegas Bador. "Itulah contoh nya. Tuhan itu ada. Yang terjadi pada umat manusia itu adalah kerana mereka tidak mau datang mencari dan menemui-Nya. Itulah sebabnya mengapa begitu banyak penderitaan di seluruh dunia ini...."

Nota : Ingatlah Allah walau dimana kalian berada.

Wednesday, November 11, 2009

Dosa menghalang cahaya Ilmu


Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".

Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat kepadaNya. Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata: "Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya".

Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu kepunyaan Allah jua". Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka yang taat lapang dadanya. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam.

Sesiapa yang Allah hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)". Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya. Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya". Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu.

Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat". Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)". Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu."


Tuesday, November 10, 2009

Berkelah


"Rus, nak pi kelah dengan nti hari ni". Kata seorang sahabat penulis beberapa tahun lepas. Lalu penulis pun balas "Kelah? kat mana? ana ada kelaslah". Lalu sahabat tadi message semula; "maksud ana kelas la". Owh baru penulis faham rupanya kelah=kelas bagi orang kelantan. Manakala kelah=picnic bagi orang utara. Lucukan!!Teringat lagi waktu itu, baru mula rapat dengan budak2 kelate di UPSI. Itulah, 'speaking' kelate lagi dengan orang utara. Apabila teringat peristiwa lalu, pasti tersenyum sendiri.

Sekarang pun SMS yang diterima daripada sahabat yang berasal daripada pantai timur terpaksa penulis baca dua tiga kali supaya tak salah faham. Biasalah gara-gara salah faham sahaja macam2 boleh terjadi. perselisihan, pergaduhan, semuanya hanya gara-gara satu text message yang biasa. Biarlah terpaksa ambil masa yang lama pun, asalkan perselisihan tidak tercetus.

Pada hari Ahad yang lepas, 8 November 2009, penulis berkesempatan mengajak seorang sahabat baik di UPSI dulu, yang sama-sama posting di  Penang datang berkelah di laut yang berdekatan dengan rumah kakak penulis. Alhamdulillah, perkelahan selama beberapa jam ini berjalan dengan penuh ceria dengan tawa kanak-kanak. Semoga ukhwah yang terbina antara penulis dan k.as bertambah erat..



K.as, Wardina,  wahida dan wajihah


penulis, k.as, K.Za serta anak-anak


Bersantap 


wardina, udin dan alia (anak-anak asuhan kakak)



Monday, November 9, 2009

Alangkah Ajaibnya..


Bagaimana dapat dibayangkan bahawa ALLAH dapat dihijab oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang menjadi nyatakan segala sesuatu..

Bagaimana dapat dibayangkan bahawa ALLAH dapat dihijab oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang zahir kelihatan pada setiap sesuatu…

Bagaimana akan mungkin ALLAH dihijab oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang terlihat dalam tiap sesuatu…

Bagaimana ALLAH akan dapat ditutup oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang jelas kelihatan bagi tiap sesuatu…

Bagaimana dapat dibayangkan bahawa ALLAH dapat dihijab oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang telah sedia ada sebelum adanya sesuatu

Bagaimana mungkin akan ALLAH dihijab oleh sesuatu....
Padahal DIAlah yang tunggal dan tidak ada di sampingnya sesuatu apapun…

Bagaimana ALLAH akan dihijab oleh sesuatu
Padahal DIAlah yang lebih dekat kepadamu daripada sesuatu…

Bagaimana ALLAH akan mungkin dihijab oleh sesuatu
Padahal kalaulah tidak kerana DIA nescaya tidak akan ada segala sesuatu…

Alangkah ajaibnya…
Bagaimana ALLAH akan dapat kelihatan di dalam sesuatu
yang sebenarnya tiada wujud

Atau bagaimana dapat bertahan sesuatu yang hancur itu
di samping Zat yang bersifat QIDAM

-IMAM IBNU ATHA’ILLAH RAHIMAHULLAH-

Sunday, November 8, 2009

Jumpa yang baru, yang lama tidak dilupa


Salam Perjuangan
Tiba-tiba teringat detik-detik hari jumaat lepas. Sepatutnya penulis bergerak ke KL kerana ada satu program di samping dapat bertemu sahabat lama yang sudah beberapa bulan tidak bersua muka. Namun, disebabkan ada sedikit masalah teknikal, hasrat tersebut terpaksa dilupakan. Sedih juga rasa hati. 

Namun, seusai Dhuha pada pagi Sabtu, penulis menerima panggilan daripada seorang sahabat. Katanya ingin ajak sertai permainan Bowling anjuran Nisa' dan KRL (Kelab Remaja Lestari). Selepas 15 minit menunggang moto, penulis sampai di tempat program, Kompleks Bukit Jambul (BJ). Selepas beberapa minit menunggu K.As, yang tinggal berdekatan Kompleks BJ kami bersama-sama bergerak ke tempat program yang terletak di tingkat atas sekali.

Di sinilah bermulanya perkenalan dengan sahabat-sahabat yang baru. Rasa rindu dan terkilan gara-gara tak dapat pergi KL terubat disini. Kami berkenalan dan bercakap dengan penuh mesra, seolah-olah sudah lama mengenali antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan Ukhwah Fillah. Bertepatanlah dengan Firman Allah "sebenarnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara". Selepas pendaftaran, kami mengikut kumpulan masing-masing dan permainan bowling dimulakan. Yang pasti inilah kali pertama penulis bermain dan memegang bola bowling. Alhamdulillah hasil tunjuk ajar daripada orang yang dah lama main, dapat 2 kali strike (jatuhkan semua pin) daripada 10 pusingan. huh, macam tak percaya aja. Setelah semua kumpulan selesai semua pusingan, sesi penyampaian hadiah berlangsung. Sebenarnya, perlawanan bowling ini, adalah untuk meraikan sahabat-sahabat yang akan kembali ke Mesir setelah beberapa bulan bercuti. Acara tamat kira-kira jam 1.15 petang.

Pengalaman pertama kali bermain bowling ini, sudah pasti tak dapat dilupakan. Dapat pula berkenalan dengan sahabat yang datang daripada pelbagai bidang pekerjaan dan juga negeri. Jumpa yang baru, namun yang lama masih segar dalam ingatan.

Thursday, November 5, 2009

Takdir dan usaha

Banyak pertanyaan yang timbul dalam masyarakat kita. Kenapa kita harus berusaha sedangkan Allah telah menetapkan taqdir pada kita? Inilah yang harus dijawab supaya umat Islam tidak menjadi umat yang statis jika kita salah memahami konsep taqdir.

Taqdir dan usaha adalah dua sisi yang berbeda, dimana taqdir berhubungan dengan amalan hati sedangkan usaha adalah amalan fisik, tidak salah jika mengabungkan keduanya.

Ambil contoh perbezaan antara amalan hati dan fisik. Mengimani Allah tidak bererti meninggal ibadah padaNya. Mengimani rasul tidak bererti meninggalkan sunnahnya. Mengimani Quran tidak bererti meninggalkan membacanya, memahami, melaksanakan hukum hukumnya serta berhenti memperjuangkan tegaknya perintahnya. Demikian pula mengimani taqdir tidak diertikan meninggalkan usaha dan kerja keras.

Itulah sebab mengapa mengimani qada’ dan qadar ( taqdir ) dimasukan pada rukun iman yang enam bukan pada rukun Islam.

Sungguh bijak ungkapan Imam Al Juazi. Jika ada orang yang bertanya : Mengapa kita harus berusaha sedang taqdir telah mendahului kita? Maka katakanlah pada orang itu : Mengapa kita tidak berusaha sedang yang membuat taqdir menyuruh kita berusaha?

Benarlah firman Allah SWT “Apabila sudah ditunaikan sholat maka bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak banyak supaya kamu beruntung ( QS Al Jummah : 10 )

Daripada ayat tersebut kita mengetahui bahwa mengingat Allah banyak banyak tidak bermakna meninggalkan usaha. Disinilah perlunya umat Islam memahami Quran secara syamil agar tidak di perkotak-katikan oleh musuh musuh Islam.

Napoleon Banaparte ketika memasuki Mesir sempat mengunakan dalil taqdir untuk melemahkan perlawanan umat dengan ucapannya yang terkenal “ Kalian memang ditaqdirkan untuk dijajah! Namun masih ada yang bisa membalas ucapan ini : Jika dijajah adalah taqdir maka melawan penjajahan juga taqdir”. Mungkin mereka para pahlawan Islam itu mengambil dari ucapan Umar bin Khatab. “Lari dari taqdir Allah kepada taqdir Allah.”

Pemahaman taqdir secara separuh separuh akan mengakibatkan keterlambatan umat dalam mengejar ketinggalannya. Maka selamanyalah umat Islam dibawah telapak kaki kafir.

Sirah Rasul jelas mengatakan bahwa baginda tidak meninggalkan usaha dengan alasan taqdir ,sedangkan baginda SAW adalah manusia yang paling bertawwakkal pada Allah. Demikian pula Nabi Nabi sebelum baginda tidak satupun hanya duduk menunggu pertolongan dan rezeki dari langit. Ketika Zaman Nabi Musa a.s, Allah mengarahkan Nabinya mengetuk laut dengan tongkat untuk membuka jalan sewaktu nabi Musa melarikan diri daripada Firaun dan tenteranya. Jika diikutkan akal, tak perlulah menggunakan tongkat, terus jalan dibuka. Pun begitu, Allah mahukan hambanya berusaha, mengetuk tongkat dengan laut adalah salah satu usaha Nabi Allah. Analoginya seperti hendak masuk ke dalam rumah. Mana mungkin dapat masuk ke dalam, tanpa kita membuka pintu. Jadi buka pintu adalah usaha.

Benarlah ucapan ulama’ “Bertawwakkal adalah jiwa Rasulullah sedangkan kerja keras adalah Sunnahnya”

Berusahalah..Buatlah apa yang terbaik untuk diri kita..Allah pasti tak akan mensia-siakan usaha hambaNya. Redhailah dengan takdir yang menimpa diri..Jangan berkeluh kesah. Sesungguhnya Allah memberi apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu.

Wallahu’alam.

Tuesday, November 3, 2009

Sekolah oh sekolah


Hari ini, genap 7 hari aku mengajar di SMJKC Chung Hwa Confusion. Walaupun agak kekok dengan suasana yang 'totally different' dengan SMK namun, inilah pengalaman yang tak mungkin boleh dibeli dengan wang ringgit. Hanya 7 orang guru tetap berbangsa Melayu termasuk 5 orang guru baru, pada mulanya masalah komunikasi jugalah, kerana majoriti cikgu Berbangsa Cina. Pelajarnya pun 99% berbangsa Cina. Namun, lama-kelamaan aku sudah mula membiasakan diri. Cikgu2 di sini 'very friendly', tak pernah rasa terpinggir. Cumanya nak masuk dengan pelajar sedikit susah, kerana tak ramai yang fasih B.Melayu.

InsyaAllah aku sendiri akan mengikuti kursus Bahasa Mandarin bermula disember ini, mungkin ini salah satu methode untuk merapatkan lagi aku dengan pelajar. Rasulullah sendiri menggalakkan kita belajar bahasa bangsa lain untuk memudahkan proses dakwah.. Dalam situasi sekarang, amat penting untuk aku belajar B.Mandarin. Sekarang minggu peperiksaan, jadi tak banyak kerja yang boleh dibuat,.hanya bantu guru apa yang patut..dan Orientasi untuk guru baru juga sedang dijalankan. tak lah sepenat orentasi zaman Universiti dahulu. Alhamdulillah... Setiap hari aku terpaksa menunggang moto selama 30 minit daripada rumah kakak untuk sampai ke sekolah. Walaupun sudah 7 tahun memiliki lesen moto, namun keadaan jalan yang begitu sesak, kadang2 menakutkan diri. Namun terpaksa juga melaluinya,.

Cabaran yang berbeza.
Setiap orang  pasti mengalami cabaran dan tarbiyah yang berbeza. Sahabat2 daripada sabah terpaksa hidup dengan serba kekurangan, dengan air dan elektrik yang sedikit susah dan ada juga yang mengajar di sekolah yang berada di kawasan pedalaman, Bagi yang mengajar di bandar pulak, terpaksa berhadapan dengan pelajar yang sedikit nakal. Namun, hasil beberapa tahun tarbiyah yang dilalui. InsyaAllah aku yakin, semua dapat melalui setiap cabaran dengan rasa tenang hati. Bandar atau pedalaman, cabarannya tetap ada, cuma cara yang berbeza. Semoga semua akan kuat dan boleh menjadi muallim/ah yang berjaya. Salam perjuangan.

Salam Imtihan


Selamat menghadapi peperiksaan buat semua adik2 di UPSI. Semoga kejayaan dalam genggaman. Buktikan Umat Islam sentiasa boleh. Do your best and let Allah do the rest.

Merajuk


Kenapa merajuk?

Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk?
Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.

Punca merajuk
Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai ‘tuan’, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah?
Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana mengubati sikap merajuk?
Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang “menyakiti hati” kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula...

.: Pegangan Da'ie :.

Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ainama syi'ta

(aku adalah anak panah daripada panahan Islam, kemana saja aku dicampakkan, disitulah aku akan berjuang')



'aslif nafsak wad'u ghairak (Perbaiki diri dan sampaikan pada yg lain)